Responsive Ad Slot

Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah dua tuduhan babit dana RM2 juta

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan, gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad, 55, pertama kali membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh selepas mahkamah membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lepas.

Ketika ditanya sama ada beliau faham kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya, Ahmad menjawab, "Faham, saya mengaku tidak bersalah,".

Mahkamah juga membenarkan jaminan RM500,000 yang dikenakan di Mahkamah Sesyen ketika beliau didakwa kali pertama pada 21 Jan 2020 dikekalkan dan menetapkan 29 Sept ini untuk pengurusan kes.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 10 orang saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan yang akan bermula tahun depan.

Tarikh perbicaraan sebelum ini telah ditetapkan selama 23 hari bermula 7 hingga 9 Jun dan 13-15 Jun, 18-21 Julai dan 25-28 Julai serta 15-19 Ogos serta 22- 25 Ogos 2022 dan tarikh itu telah dipersetujui peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013, dan cek itu ditunaikannya sendiri pada hari sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ahmad juga dituduh memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai, 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber | BERNAMA


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo