Responsive Ad Slot

Agong zahir tahniah kepada Chin Ann


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann yang dinobatkan sebagai pemain paling banyak mewakili skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa.

Ucapan itu turut dikongsi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di atas kejayaan Chin Ann itu.

Bekas pemain Harimau Malaya itu disenaraikan dalam Kelab Abad Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) sebagai pemilik kap penampilan antarabangsa terbanyak Fifa dengan 195 penampilan selama 15 tahun beraksi buat negara.

"Kelab Abad Fifa adalah eksklusif untuk pemain yang bermain sekurang-kurangnya 100 perlawanan antarabangsa.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau menduduki tempat pertama, sekali gus melakarkan sejarah dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pencapaian Datuk Soh Chin Ann sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia," kata baginda menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara di laman Facebook hari ini.

Untuk rekod, Chin Ann yang mewakili pasukan kebangsaan dari tahun 1969 hingga 1984 adalah salah seorang daripada empat legenda kebangsaan termasuk Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh yang turut disenaraikan oleh Fifa.

Antara nama besar lain dalam senarai 10 terbaik ialah Sergio Ramos dari Sepanyol (180, tempat kelima), Cristiano Ronaldo dari Portugal (179, keenam) dan Gianluigi Buffon dari Itali (176, kesembilan).

Antara legenda bola sepak negara yang turut tersenarai ialah Datuk Abdul Shukor Salleh (163), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138) dan Mendiang Datuk R Arumugam (131).

- HMetro


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo