NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agong titah PRU15 bukan pilihan terbaik




Agong titah PRU15 bukan pilihan terbaik. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan keputusan terbaik bagi menangani krisis politik negara ketika ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin berkata, Al-Sultan Abdullah menyatakan titah tersebut mengambil kira faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

Ia susulan sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh di Istana Negara pada Isnin.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi SPR bahawa sehingga 10 Ogos 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah Covid-19.

“Pada masa sama, Seri Paduka Baginda ambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi membimbangkan.

“Justeru, pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan tersebut sebelum itu mengesahkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh jemaah menterinya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berkuatkuasa serta merta.

Susulan peletakan jawatan tersebut, Yang di-Pertuan Agong berkenan agar Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan sehingga mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik Covid-19.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Seri Paduka Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

https://mykmu.net/2021/08/16/agong-titah-pru15-bukan-pilihan-terbaik/

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo