NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zahidi dakwa Ahmad Zahid manipulasi MKT ikut kehendak peribadi?


KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendakwa Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memanipulasi Mesyuarat MKT supaya membuat keputusan selari dengan kehendak peribadinya.

Ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin, mendakwa ini kerana Ahmad Zahid sudah mengumpul surat perakuan sokongan ahli MKT terhadap keputusan yang bakal dibuatnya, beberapa hari sebelum mesyuarat berlangsung malam tadi.

Kerana itu katanya, dalam mesyuarat MKT malam tadi, tiada undian diadakan sebelum keputusan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat.

"Ini kebijaksanaan Ahmad Zahid memanipulasikan mesyuarat. Dia panggil semua orang untuk tandatangan surat menyokong keputusan dia menolak Muhyiddin.

"Ini menggambarkan Ahmad Zahid nak kita ikut keputusan dia," katanya kepada BH.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa pagi ini mendakwa dimaklumkan beberapa ahli MKT bahawa kenyataan Ahmad Zahid awal pagi tadi, tidak menggambarkan keputusan mesyuarat itu.


Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, mendakwa kenyataan dibacakan Ahmad Zahid pada sidang media dibuat secara dalam talian itu disiapkan lebih awal sebelum mesyuarat MKT bermula.

Ahmad Zahid bagaimanapun menafikan membuat keputusan sendiri untuk parti dan sebaliknya mendakwa ia dibuat secara berpelembagaan, musyawarah dan bijaksana, berpaksikan kemaslahatan rakyat serta negara.

Sementara itu Zahidi mendakwa, ahli-ahli MKT juga dikenakan tekanan supaya menandatangani surat perakuan itu ketika dipanggil dalam kumpulan kecil membabitkan beberapa orang.

"Mereka kata kami kena tekan sebab di situ ada Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Ahmad Maslan," katanya.

Sementara itu, Zahidi berkata, dalam mesyuarat malam tadi Ahmad Zahid mengumumkan semua ahli MKT kecuali enam orang menandatangani surat perakuan itu.

Zahidi mengaku beliau adalah di antara yang tidak berbuat demikian kerana tidak dipanggil oleh Presiden UMNO itu.

Katanya, turut dimaklumkan tidak berbuat demikian ialah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/837138/zahidi-dakwa-ahmad-zahid-manipulasi-mkt-ikut-kehendak-peribadi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo