NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Varian Wembley’ mula menular selepas EURO 2020

Jumlah jangkitan Covid-19 di United Kingdom (UK) melepasi angka 50,000 semalam – tertinggi sejak 11 Januari lalu – ketika negara itu kini berada pada puncak gelombang ketiga pandemik.

Pada Jumaat, 51,870 individu diuji positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan dalam tempoh seminggu sejak Sabtu lalu sebanyak 277,995 kes, meningkat 34.9 peratus berbanding data minggu sebelumnya.

Kematian yang berkaitan dengan Covid-19 turut meningkat 57.4 peratus setiap minggu, di mana pihak berkuasa melaporkan 277 kematian sejak 10 Julai, termasuk 49 pada Jumaat.

Angka positif Covid-19 itu dijangka melonjak penghujung bulan ini atau tepatnya dua minggu selepas perlawanan akhir EURO 2020 yang berlangsung di Stadium Wembley, England, dengan kehadiran lebih 60,000 penonton.

Malah, sudah ada laporan mengatakan terdapat penyokong England diuji positif Covid-19 ketika pihak berkuasa kesihatan England (PHE) meminta mereka melakukan ujian berkala, menjelang rancangan Perdana Menteri Boris Johnson untuk menamatkan sekatan Covid-19 di seluruh negara itu.

Beberapa penyokong mengatakan ‘hampir semua orang’ yang mereka kenal dan bergerak ke Stadium Wembley telah dijangkiti virus dan kini melakukan kuarantin kendiri.
Susulan banyak penyokong yang diuji positif Covid-19 ketika pertembungan akhir England dan Itali itu, masyarakat kini menjuluki kes berkenaan sebagai ‘varian Wembley’.

Kebenaran pihak berkuasa kepada penonton untuk memasuki Stadium Wembley pada final EURO 2020 itu merupakan sebahagian daripada percubaan untuk menguji keselamatan sesuatu perhimpunan besar.

Semua 60,000 peminat yang hadir tanpa memakai pelitup muka dan tidak melakukan penjarakan sosial sudah menunjukkan keputusan ujian negatif Covid-19. Namun, ribuan yang lain menyerbu masuk ke stadium itu tanpa tiket, tidak pernah melalui ujian saringan Covid-19.

Kadar kebolehjangkitan yang diukur dengan julat RT di UK juga kini meningkat pada tahap 1.2 hingga 1.4 dengan kadar pertumbuhan semasa empat peratus hingga tujuh peratus sehari.

Ketua Pegawai Perubatan England, Prof Chris Whitty memberi amaran jumlah kemasukan ke hospital akibat Covid-19 berlipat kali ganda setiap tiga minggu dan boleh mencapai satu ‘angka menakutkan’, tatkala Britain bersiap untuk dibuka semula Isnin ini.

“Saya berpendapat kita tidak boleh meremehkan fakta bahawa England akan berdepan semula masalah peningkatan kes. Jumlah kemasukan ke hospital akibat Covid-19 sekarang rendah, tapi itu tidak bermakna akan kekal lima hingga lapan minggu lagi. Ia sebenarnya boleh menjadi sangat serius,” kata Whittey dalam wawancara dengan Science Museum.

Saintis paling kanan Britain itu juga memberi amaran bahawa UK dan seluruh dunia belum lagi keluar dari masalah Covid-19, sehinggalah virus itu benar-benar tidak lagi menjadi ancaman.

Amaran Whittey dibuat susulan laporan badan statistik UK mendedahkan seorang bagi setiap 95 rakyat Britain dijangkiti Covid-19 minggu lalu, satu peningkatan berbanding minggu lalu.

Statistik itu turut menyatakan, lebih setengah juta individu di Britain menerima amaran kuarantin kendiri yang dihantar menerusi aplikasi Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).

Sebelum ini Perdana Menteri Britain mengumumkan semua peraturan yang dikuatkuasakan untuk mengawal penularan Covid-19 di England akan berakhir Isnin ini.

Bakal menjadikan UK sebagai negara ‘bebas peraturan Covid-19’, memakai pelitup muka dan melaksanakan penjarakan sosial hanya akan menjadi ‘keputusan peribadi’ rakyatnya tidak kira sama ada di lobi hospital, stesen bawah tanah atau di pusat hiburan yang penuh dengan pemuda tidak divaksin.

Langkah itu adalah perjudian terbesar pentadbiran Johnson yang berjuang untuk menyelesaikan penularan Covid-19 di negaranya. Britain kini mempunyai kadar jangkitan tertinggi di Eropah, setelah Cyprus, dan sejumlah 128,000 kematian. – Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo