NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tunisia tenat, 9 kerajaan bersilih ganti dalam tempoh 10 tahun

Tunjuk perasaan penunjuk perasaan ketika pasukan tentera Tunisia menjaga kawasan sekitar bangunan parlimen di ibu negara Tunis, Tunisia, 26 Julai 2021. [Khaled Nasraoui / EPA]
RAKYAT Tunisia yang berjaya menumbangkan pemimpin kuku besi diktaktor Zine El Abidin Ben Ali melalui tunjuk perasaan Arab Spring pada tahun 2011 kerana melakukan pemerintahan secara korup kini berdepan dengan satu lagi krisis demokrasi.

Ini kerana Presiden negara berkenaan, Kais Saied menggantung Parlimen pada Ahad lalu dan menggugurkan Perdana Menteri Hichem Mechichi berikutan satu protes terhadap parti pemerintah oleh rakyat.

Saied membuat pengumuman tersebut setelah mengadakan satu mesyuarat darurat di istananya dengan hon-hon kereta turut dibunyikan di jalan-jalan raya manakala ribuan penduduk Tunisia berarak di beberapa bandar bagi membantah kegagalan kerajaan dalam menurunkan kadar kes Covid-19.

Ia merupakan pergolakan yang terbaharu berlaku di negara Afrika yang miskin itu selepas Zine El Abidine yang pernah memerintah negara tersebut melarikan diri pada 14 Januari 2011 sekali gus mengakhiri pemerintahannya selama kira-kira 23 tahun di negara berkenaan.

Beliau kemudian dilaporkan meninggal dunia dalam buangan pada tahun 2019 di Jeddah, Arab Saudi.

Zine El Abidine melarikan diri selepas seorang penjaja miskin yang juga seorang lulusan universiti, Mohamed Bouazizi terpaksa membakar diri sendiri ekoran menghadapi gangguan daripada polis di bandar Sidi Bouzid sekali gus mencetuskan rusuhan dan protes terhadap kerajaan.

Bouazizi kemudian meninggal dunia akibat kecederaan pada 4 Januari 2011.

Selepas berlaku rusuhan selama berminggu-minggu yang mana seramai 338 orang terbunuh dan Zine El Abidine melarikan diri ke luar negara sehingga menjadikan beliau menjadi pemimpin pertama yang ditumbangkan dalam Arab Spring.

Pada Oktober 2011 pula Tunisia menyaksikan parti Islam Ennahdha memenangi 90 daripada 217 kerusi di Parlimen Baharu.

Ia melantik pemimpin pembangkang, Moncef Marzouki sebagai Presiden pada Disember 2011.

Bagaimanapun, tunjuk perasaan awam sekali lagi berlaku apabila polis bertempur dengan ribuan penduduk yang tidak memiliki pekerjaan di kawasan barat daya perlombongan negara itu.

Lebih banyak tunjuk perasaan berlaku dengan kumpulan-kumpulan jihad turut melakukan serangan.

Satu siri mogok dan tunjuk perasaan memberi kesan kepada pihak industri, perkhidmatan awam, pengangkutan, perniagaan dengan kekacauan lebih banyak menjejaskan ekonomi dalam negara.

Pada Februari, 2013, pemimpim pembangkang, Chokri Belaid dibunuh di Tunis dan pada Julai tahun yang sama, seorang ahli politik yang terkenal, Mohamed Brahmi turut ditembak.

Kumpulan Daesh mengaku melakukan kedua-dua kejadian tersebut sekali gus mencetuskan satu lagi krisis di negara berkenaan.

Pada tahun 2015, Tunisia menghadapi tiga serangan yang didakwa dilakukan oleh Daesh yang menyebabkan 72 orang terbunuh kebanyakannya pelancong asing dan pasukan keselamatan sebuah muzium serta di sebuah resort tepi pantai.

Pada tahun 2016, satu gelombang baharu protes turut meletus selepas kematian seorang penganggur.

Dalam pada itu, pada permulaan tahun 2018, protes juga berlaku selepas bajet berjimat cermat dikuatkuasakan.

Pada Oktober 2019, parti Ennahdha memenangi kerusi paling banyak dalam Parlimen tetapi masih tidak mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

Seminggu kemudian, seorang ahli akademik dan tiada latar belakang politik dilantik menjadi Presiden iaitu Saied.

Dalam tempoh 10 tahun, sejak Arab Spring, Tunisia telah mempunyai sembilan kerajaan.

Selepas memecat Perdana Menteri, Presiden Tunisia itu melaksanakan perintah berkurung dari jam 7 petang hingga 6 pagi waktu tempatan dan melarang perhimpunan lebih dari tiga orang dilakukan di tempat awam sebagai usaha menurunkan kes Covid-19. - Agensi

- SH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo