NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak wajar ahli Parlimen PH seru penggunaan Ivermectin sebagai ubat Covid-19, kata pakar

Tindakan beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyeru kepada penggunaan ubat Ivermectin untuk melawan Covid-19 semasa sidang Dewan Rakyat baru-baru ini disifatkan sebagai tidak wajar oleh pakar-pakar kesihatan.

Pengerusi gerakan MedtweetMY Dr Khairul Hafidz berkata perdebatan mengenai Ivermectin timbul dengan kajian klinikal menunjukkan dapatan baik, namun kajian itu mempunyai kecacatan dan masih belum melepasi peringkat “peer review”.

“Kajian Ivermectin yang digunakan oleh kebanyakan kebanyakan negara ditarik balik kerana didapati ada unsur plagiarism dan data yang menyeleweng,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kajian inilah yang menyebabkan banyak negara mengambil keputusan ini. Di Malaysia dengan kajian-kajian yang ada, kita merasakan dapatan masih belum mencukupi untuk membuat keputusan bahawa Ivermectin boleh digunakan ke atas manusia.”

Antara yang bertindak sedemikian ialah Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu, Khalid Samad (Amanah-Shah Alam), R Sivarasiah (PKR-Sungai Buloh), Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru), William Leong (PKR-Selayang), P. Prabakaran (PKR-Batu) dan Johari Abdul (PKR-Sungai Petani).

Ia menimbulkan kegusaran ramai apabila kenyataan mereka mungkin digunakan pihak anti vaksin untuk tidak mengambil vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah awal bulan ini memberitahu pihaknya tidak menolak kemungkinan meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 jika terdapat bukti kukuh menjelaskan keberkesanan dan kesan sampingannya.

KKM ketika ini hanya membenarkan penggunaan Ivermectin secara “off label” sehingga kajian menyeluruh dijalankan.

Ivermectin merupakan sejenis ubat anti parasit yang digunakan bagi rawatan beberapa penyakit tropika.

Justeru, katanya ahli-ahli Parlimen harus bersabar dan menunggu keputusan kajian klinikal yang dibuat di Malaysia menunjukkan keberkesanan yang baik.

“Kemungkinan ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai fakta yang cukup dan mungkin ada pihak yang telah menerangkan berkenaan Ivermectin kepada mereka dan pihak ahli-ahli Parlimen tidak mendapatkan kesahihan daripada KKM,” katanya.

Katanya, kebimbangan orang ramai terhadap Covid-19 mungkin menjadi pemangkin terhadap gerakan mempromosikan ubat itu.

Pakar kesihatan awam, Dr Sanjay Rampal berkata, prinsip yang berdasarkan bukti perlu digunakan untuk menilai keberkesanan dan keselamatan vaksin dan ubat.

“Penting untuk kita menilai kesahihan laporan kajian secara kritikal sebelum menggunakannya.

“Bukti keberkesanan Ivermectin datang dari kajian heterogenus yang kecil yang mungkin terdedah kepada pelbagai perkara yang berat sebelah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sanjay berkata, gerakan Ivermectin bukanlah yang pertama bagi tujuan penggunaan semula satu-satu jenis ubat untuk digunakan kepada pesakit Covid-19.

“Ketika kita mencari rawatan berkesan untuk Covid-19, beberapa pihak mempertikaikan kitaran pembangunan ubat yang panjang, kos tinggi untuk mengguna semula dadah dan keperluan ujian klinikal rawak yang sah.

“Sejarah memberi amaran kepada kita mengenai perkara ini. Contohnya insiden Thalidomide pada 1960-an yang mana penggunaan ‘off-label’ ubat itu mengakibatkan kecacatan kongenital,” katanya - MalaysiaNow

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo