NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Talking points Menteri Kanan Pertahanan

 


TALKING POINTS MENTERI KANAN PERTAHANAN

3 JULAI 2021

MENGENAI PELAN PEMULIHAN NEGARA (PPN) DAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD)

YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun mengumumkan pada 15 Jun yang lalu, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19.

Pelan ini merupakan satu panduan yang dirangka berdasarkan data dan sains, merangkumi empat fasa. Peralihan fasa secara berperingkat bergantung kepada nilai ambang ataupun threshold tiga indikator utama iaitu:

Pertamanya, keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian,

Kedua, kadar penggunaan katil di wad ICU dan

Ketiga, peratusan populasi Malaysia yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap minggu juga meneliti tiga nilai ambang utama ini di peringkat negeri-negeri.

Setelah MKN membuat penilaian terperinci dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat pandemik ini, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN mengikut pencapaian nilai ambang negeri-negeri.
PPN ini memberi isyarat yang jelas apa yang telah dirancang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membawa keluar negara dari kemelut pandemik ini.

Kementerian Kewangan telah pun memperincikan nilai ambang untuk peralihan negeri-negeri dari satu fasa ke fasa berikutnya mengikut tiga indikator yang telah ditetapkan itu.

Untuk itu, saya serahkan kepada YB Menteri Kewangan, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul untuk menjelaskan PPN – Peralihan Fasa di Peringkat Negeri.

Terima kasih YB Tengku Zafrul.

Berdasarkan penerangan oleh YB Tengku Zafrul sebentar tadi, saya dengan ini mengumumkan negeri-negeri yang beralih ke Fasa 2 berkuat kuasa 5 Julai 2021 adalah:

1. Perlis

2. Perak

3. Kelantan

4. Terengganu

5. Pahang

Tahniah kepada 5 negeri ini yang telah berjaya memasuki Fasa 2 PPN.


Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara

Dalam Fasa 2 PPN, pergerakan rentas daerah dan negeri adalah masih tidak dibenarkan. Pengecualian akan diberikan untuk pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan.

Pengecualian khas akan diberikan kepada pasangan jarak jauh dalam kes-kes kecemasan dan keperluan khas dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagi Fasa 2, senarai positif bagi sektor yang dibenarkan beroperasi akan diperluaskan adalah:

Sektor Perdagangan & Pengedaran

Kedai buku & alat tulis
Komputer & telekomunikasi
Barangan eletrik
Kedai cuci kereta
Kedai gunting rambut (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja)

Pasar tani dan pasar pagi juga dibenarkan beroperasi dari jam 7.00 pagi sehingga 11.00 pagi dan jualan diterhadkan kepada 6 komoditi utama sahaja iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

Walaubagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih TIDAK DIBENARKAN dibuka.

Pengusaha-pengusaha sektor yang dibenarkan beroperasi termasuk pasar tani dan pasar pagi adalah diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Di bawah Fasa 2, kapasiti pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu ataupun essential services akan dinaikkan kepada 80%. Pihak majikan perlu memastikan penjarakan fizikal dan SOP yang ditetapkan dipatuhi setiap masa.

Semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tiada sentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 hingga 3 meter bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri juga dibenarkan.

Ini termasuk aktiviti secara berindividu seperti joging, senaman, taichi, berbasikal, skate boarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis perseorangan, golf, permotoran dan seumpamanya.

Aktiviti keagamaan bagi Fasa 2 adalah tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Aktiviti Pertanian Di Kawasan PKPD

Bagi menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara, kawasan penanaman padi yang terletak di dalam kawasan PKPD seperti di Ijok, Kuala Selangor, adalah DIBENARKAN BEROPERASI seperti biasa.

Operasi Firma Guaman

Oleh kerana mahkamah akan dibuka mulai 5 Julai 2021, urusan-urusan dokumentasi yang melibatkan jabatan kerajaan termasuk pejabat tanah, institusi perbankan dan prosiding mahkamah serta lain-lain perkara perlu dilaksanakan. Oleh itu, kerajaan bersetuju untuk membenarkan firma guaman menjalankan aktiviti seperti biasa.

Walaubagaimanapun, SOP terperinci akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dalam masa terdekat.

Pemantauan dan Penguatkuasaan SOP COVID-19 di Sektor Perkilangan dan Premis Perniagaan

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.

Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 98,024 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 21,777 orang.

Semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 2,943 pemeriksaan ke atas kilang, 16,168 premis perniagaan dan 81 asrama penempatan pekerja.

Daripada jumlah itu, lima (5) kilang dan empat (4) premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP.
PKPD Taman Desaria, Seremban, Negeri Sembilan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes COVID-19 di Taman Desaria, Seremban, Negeri Sembilan.

Hasil pemantauan KKM mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat dan setakat ini, sebanyak 242 kes positif telah direkodkan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Desaria, Seremban, Negeri Sembilan berkuat kuasa 5 Julai sehingga 18 Julai 2021.

Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.


PKPD 3 lokaliti dalam daerah Kuala Muda, Kedah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi terkini kes COVID-19 di tiga (3) lokaliti dalam daerah Kuala Muda, Kedah yang melibatkan:

Taman Bandar Baru Sungai Lalang
Taman Lembah Permai
Kawasan Perindustrian Bakar Arang (termasuk Taman Cahaya PKNK)

Hasil pemantauan yang dilakukan oleh KKM mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat. Sehingga kini, sebanyak 78 kes telah dilaporkan di Taman Bandar Baru; 17 kes di Taman Lembah Permai dan 219 kes di Kawasan Perindustrian Bakar Arang (termasuk Taman Cahaya PKNK).

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga (3) lokaliti dalam daerah Kuala Muda, Kedah berkuat kuasa 5 Julai sehingga 18 Julai 2021.
Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM menjalankan ujian secara bersasar sekali gus menyekat penularan kes ke luar lokaliti ini.


PKPD Mukim Kuala Kuantan 2, Kuantan, Pahang

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah melaporkan situasi COVID-19 di Mukim Kuala Kuantan 2, Kuantan, Pahang.

KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang ketara dalam tempoh 14 hari di Mukim Kuala Kuantan apabila sebanyak 774 kes positif direkodkan daripada 6,472 yang disaring.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kuala Kuantan 2, Kuantan, Pahang bermula dari 4 Julai hingga 17 Julai 2021.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID- 19 ke kawasan lain.


PKPD Taman Zifa, Bingkul, Beaufort, Sabah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes COVID-19 di Taman Zifa, Bingkul, Beaufort, Sabah.

Sehingga kini, KKM telah merekodkan 21 kes positif COVID-19 setelah 50 orang penduduk menjalani ujian saringan dengan kadar positiviti 42.00%.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Zifa, Bingkul, Beaufort, Sabah berkuat kuasa 5 Julai sehingga 18 Julai 2021.

Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.
PKPD Kampung Simpangan, Kota Marudu, Sabah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi terkini kes COVID-19 di Kampung Simpangan, Kota Marudu, Sabah.

Sehingga kini, KKM melakukan 64 ujian saringan dan 10 daripadanya dikesan positif COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Simpangan, Kota Marudu, Sabah berkuat kuasa 5 Julai sehingga 18 Julai 2021.

Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

PKPD Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes COVID-19 di Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan.

Sehingga kini, KKM telah melakukan 134 ujian saringan dan 70 daripadanya dilaporkan positif COVID-19 dengan kadar positiviti 52.2%.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan berkuat kuasa 5 Julai sehingga 18 Julai 2021.

Pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM menjalankan ujian secara bersasar sekali gus menyekat penularan kes ke luar lokaliti ini.
Pelanjutan PKPD Taman Merbau Utama (kecuali Blok B dan C), Mukim Bukit Jawa, Selinsing, Pasir Puteh, Kelantan

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Selinsing, Pasir Puteh, Kelantan yang dijadualkan tamat pada 4 Julai 2021.

Sehingga kini, KKM telah melakukan 1,462 ujian saringan dan 125 daripadanya disahkan positif COVID-19.

KKM juga mendapati, penularan berterusan masih berlaku dalam kalangan penduduk dan kes baru masih direkodkan di lokaliti itu (melibatkan Blok A sahaja)

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Taman Merbau Utama (kecuali Blok B dan C ditamatkan), Mukim Bukit Jawa, Selinsing, Pasir Puteh, Kelantan bermula 5 Julai sehingga 18 Julai 2021.


Penamatan PKPD Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah yang dijadualkan tamat pada 4 Julai 2021.

Sehingga kini, KKM telah melakukan 216 ujian saringan dan 45 daripadanya disahkan positif COVID-19.

Pada masa sama, KKM mendapati trend kes telah menurun dan tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah pada 4 Julai 2021 (11.59 malam) seperti yang dijadualkan.
Penamatan PKPD Fasa 1 & Fasa 2, Taman Digot, Penampang, Sabah

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Fasa 1 & Fasa 2, Taman Digot, Penampang, Sabah yang dijadualkan tamat pada 4 Julai 2021.

Sepanjang pelaksanaan PKPD di lokaliti itu, KKM telah melakukan 27 ujian saringan dan lapan (8) daripadanya disahkan positif COVID-19.

KKM juga mendapati, terdapat penurunan dalam kes dari kawasan ini dan tiada lagi sampel menunggu keputusan.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Fasa 1 & Fasa 2, Taman Digot, Penampang, Sabah pada 4 Julai 2021, seperti Yang dijadualkan.


Penamatan PKPD Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, Lahad Datu, Sabah

Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, Lahad Datu, Sabah yang dijadualkan tamat pada 4 Julai 2021.

Sepanjang tempoh itu, KKM telah melakukan 148 ujian saringan dan 11 daripadanya disahkan positif COVID-19. Pada masa sama, KKM mendapati trend kes telah menurun dan tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan.

Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, Lahad Datu, Sabah pada 4 Julai 2021 (11.59 malam) seperti yang dijadualkan.
Task Force Operasi Pematuhan

Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 98,024 pemeriksaan semalam.

Operasi Pematuhan ini melibatkan 4,659 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 21,777 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semalam, 711 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 672 individu dikompaun manakala 39 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah:

Gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (169)
Tidak memakai pelitup muka (121)
Tiada penjarakan fizikal (116)
Tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (61)
Membawa penumpang berlebihan (23)
Lain-lain kesalahan (221)

Kawalan Sempadan Negara

Operasi BENTENG (Op BENTENG) semalam telah menangkap 24 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta merampas tiga (3) buah kenderaan darat.

Op BENTENG melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 940 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam iaitu:

Op PENAWAR/SJR PKP - 886 SJR Op BENTENG PDRM - 45 SJR
Op BENTENG AKSEM - 9 SJR
Operasi Disinfeksi COVID-19

Semalam, sebanyak 148 operasi disinfeksi dilakukan meliputi 64 zon merah, empat (4) zon jingga dan Sembilan (9) zon kuning di seluruh negara.

Operasi disinfeksi ini melibatkan 898 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 231 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 177 buah jentera JBPM.

Secara kumulatifnya, sebanyak 30,233 operasi disinfeksi yang merangkumi 157 zon telah dilakukan. Operasi ini melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan.


Kuarantin Wajib

Semalam, seramai 1,127 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 240,605 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 9,263 individu telah dikuarantin dan 228,435 orang dibenarkan pulang manakala 2,907 lagi dibawa ke hospital.
Barang Keperluan Asas

Pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.

Semalam, KPDNHEP telah membuat 732 pemantauan harian ke atas 10 jenis bekalan barangan terdiri daripada peringkat peruncit (541), pemborong (159) dan pengilang (32).

KPDNHEP juga telah melakukan 1,729 Pemeriksaan Khas Pematuhan SOP sepanjang PKP dan daripada jumlah itu, 1,717 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 12 premis dikompaun kerana tidak patuh SOP.


Amalkan “Lockdown” kendiri. Kekal di rumah dan amalkan gaya hidup sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri.

Terima kasih.





YB DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB MENTERI KANAN PERTAHANAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo