NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Syed Saddiq dakwa bersatu digantung pendaftaran semasa kutipan dana dilancar

PETALING JAYA: Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan Bersatu dibatal pendaftaran ketika dia didakwa memegang dana untuk Armada – sayap pemuda parti itu – pada awal April 2018.

Awal hari ini, Syed Saddiq dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan menyeleweng dana berjumlah RM1.2 juta yang dikatakan milik parti itu. Beliau mengaku tidak bersalah.

Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan dana dari 8-12 April 2018, namun, dalam siaran langsung di Facebook, Ahli Parlimen Muar itu menegaskan pendaftaran Bersatu digantung buat sementara waktu pada 3 April 2018.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mengambil tindakan itu setelah Bersatu gagal mengemukan dokumen dan butiran mesyuarat agung tahunan sebagaimana yang dikehendaki.

“Apabila pendaftaran parti digantung, akaun bank parti juga digantung dan begitu juga semua program parti,” kata beliau.

Justeru, kata Syed Saddiq, selepas tarikh berkenaan, beliau mengadakan program menjana dana atas kapasiti peribadinya sebagai calon kerusi parlimen Muar pada PRU14, dan bukan atas nama Bersatu.

Syed Saddiq berkata acara pengumpulan dana itu berlaku di Gombak pada 8 April 2018.

Beliau juga berkata, jemputan ke majlis pengumpulan dananya yang diadakan di Gombak menerusi hantaran di Facebooknya dibuat berdasarkan kapasiti peribadinya dan bukan sebagai ketua Pemuda Bersatu.

Malah, beliau juga meminta warganet yang menonton siaran langsung untuk menyemak semula tarikh jemputan hantaran tersebut di akaun Facebooknya, sebagai bukti.

Syed Saddiq dituduh mengeluarkan wang sebanyak RM1 juta dari dana Pemuda Bersatu tanpa kebenaran Majlis Tertinggi Bersatu dan menyalahgunakan sumbangan sebanyak RM120,000 untuk kempen Bersatu pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14.

Berhubung tuduhan pertama terhadapnya, beliau berkata bendahari sayap Pemuda yang menandatangani sebarang pengeluaran dana.

Terdahulu, Hakim Azura Alwi membenarkan Syed Saddiq diikat jamin RM330,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkannya menyerahkan pasportnya ke mahkamah, serta melapor diri ke pejabat SPRM terdekat di Kuala Lumpur setiap bulan sehingga kesnya selesai.

Bagaimanapun Azura membenarkan permohonan Gobind Singh Deo agar Syed Saddiq membayar RM80,000 daripada ikat jamin itu pada hari ini manakala bakinya dijelaskan selewat-lewatnya Selasa depan.

Syed Saddiq mendakwa tuduhan rasuah terhadapnya adalah akibat beliau enggan menyokong kerajaan, malah berkata beberapa Ahli Parlimen lain turut “disasarkan” oleh pihak berkuasa dengan siasatan rasuah.

Susulan itu,Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Khairil Nizam Khirudin menyelar tuduhan Presiden Muda itu sebagai “liar, tidak matang dan tidak berasas”.

- FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo