Responsive Ad Slot

BNM hanya selia TH sehingga RCI selesai

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan berkata, pengawalseliaan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) adalah penyelesaian interim sehingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dikemukakan kepada kerajaan.

Katanya, hal ehwal haji akan kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Kementerian itu berkata, TH tetap akan melaksanakan fungsi sama yang termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Dari sudut TH pula, Lembaga Pengarah dan badan pengurusannya tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju TH, pengurusan dan operasi haji,” katanya dalam kenyataan.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan RCI akan ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) untuk menyiasat isu berkaitan TH.

Sementara menunggu RCI selesai, Kementerian Kewangan berkata, BNM hanya akan memfokuskan pengambilan, deposit, pengurusan risiko dan kecairan.

Katanya, ia dilakukan di bawah rangka kerja pengawalseliaan berbeza daripada peraturan am yang dipatuhi institusi perbankan lain dan kepakaran Majlis Penasihat Syariah BNM.

“Dengan memanfaatkan kepakaran majlis ini, persepsi berhubung konsep riba bagi meraih pulangan terbaik daripada pelbagai pelaburan untuk manfaat pendeposit, tidak akan timbul sama sekali.

“Semua usaha ini bertujuan terus melindungi hak-hak pendeposit dan memastikan segala pelaburan yang dibuat TH berlandaskan prinsip syariah.”

Katanya, penambahbaikan pengawalseliaan TH sejajar hasrat Kerajaan untuk TH kembali kepada “mandat asal” penubuhannya, iaitu menguruskan simpanan pendeposit bagi menunaikan haji dan simpanan untuk pelaburan.

“Penetapan kawal selia di bawah BNM yang masih berlandaskan konsep syariah akan memantapkan tadbir urus dan memastikan tiada penyalahgunaan dana yang boleh memaksa kerajaan menggantikan wang pendeposit disebabkan jaminan kerajaan.”

Katanya, keseluruhan deposit yang mencecah RM82 bilion perlu ditadbir dengan baik berteraskan konsep semak dan imbang, selain pengeluaran deposit secara mendadak mampu mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam serta sistem kewangan Islam negara.

- FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo