Responsive Ad Slot

Ringkasan Kronologi Isu Pembatalan Ordinan Darurat



21 Julai 2021: 

Mesyuarat Jemaah Menteri mengambil ketetapan-ketetapan seperti berikut: 

Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan Agong; 

Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021; 

dan  

Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa. 

22 Julai 2021: Pejabat Perdana Menteri terima Deraf Ordinan (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara

23 Julai 2021: Perdana Menteri mengutuskan warkah kepada Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya. 

Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.  

Perkara 40 (1) memperuntukkan:

Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri. 

Manakala Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan:  

Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu. 

24 Julai 2021: Agong menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

26 Julai 2021: semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.   

Namun, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat.

YB Kota Bharu, Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.   

Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus. 

Pemakluman oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021. 

27 Julai 2021- Perdana Menteri dan Peguam Negara memohon menghadap Agong pada untuk menjelaskan kedudukannya.   

Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.   

Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Agong untuk membatalkannya.

Sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.  

Oleh sebab itu, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menasihati Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. 

Perdana Menteri menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan insyaAllah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo