NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS cadang tubuh Badan Bertindak Reformasi Kesihatan Negara

MASALAH doktor kontrak yang dihadapi negara merupakan sebahagian daripada bongkah ais yang sangat besar masalah yang dihadapi di dalam perkhidmatan kesihatan negara. Umum mengetahui ianya disebabkan kesilapan perancangan oleh pemimpin-pemimpin negara sebelum daripada ini. Setiap keputusan yang dilakukan, dilihat hanya untuk mengatasi masalah bersifat jangka pendek tanpa memikirkan natijah yang akan dihadapi oleh negara untuk jangka masa panjang.

Bagi mengatasi masalah lambakan graduan perubatan dan kekangan penjawatan tetap, Kerajaan Malaysia pada waktu itu memperkenalkan Sistem Pegawai Perubatan Kontrak pada Disember 2016. Ia adalah langkah sementara untuk membolehkan pengambilan pegawai perubatan dapat dibuat tanpa lagi bergantung kepada kekosongan tetap yang terhad. Sejak Disember 2016 sehingga 31 Mei 2021, seramai 23,077 pegawai perubatan UD41 telah dilantik secara kontrak.

Beberapa pihak termasuk PAS telah menyampaikan memorandum kepada Kabinet bagi penyelesaian jangka pendek atau pun penyelesaian jangka panjang masalah doktor kontrak ini.

Di antara permintaan PAS tersebut, termasuk:
Menambah bilangan Pos Jawatan Tetap Pegawai Perubatan UD43/44 mengikut bilangan yang realistik untuk keperluan negara dengan mengambil kira peluang menyambung kepakaran dan kesinambungan penambahan mutu perkhidmatan

a) Mencadangkan sebanyak 3,000 lantikan tetap setiap tahun dan perlu ditumpukan kepada kawasan pedalaman dan di disiplin perubatan yang negara perlukan dan bukannya bergantung kepada populariti disiplin tersebut.

b) Mencadangkan sekiranya kerajaan belum membuat keputusan berkaitan status doktor kontrak ini terutama bagi kohort lantikan tahun 2016 dan 2017, maka kontrak mereka perlu disambung sehingga langkah konkrit telah diambil dan diberi penerangan lebih awal.
Memberi emolumen yang setara dengan rakan sekerja yang berstatus Pegawai Perubatan Tetap. Ia juga perlu meliputi kelayakan yang boleh diperolehi oleh mereka seperti Cuti Khas Perubatan, Cuti Tanpa Rekod untuk Tujuan Peperiksaan, Cuti Sakit atau kemalangan dan peluang Hadiah Latihan Persekutuan

a) Ini bermaksud lantikan ke Jawatan UD43 secara automatik perlu dilakukan kepada semua Pegawai Perubatan Siswazah UD41 selepas tamat tempoh latihan

b) Unjuran kenaikan gaji tahunan perlu dipertimbangkan walaupun berstatus kontrak untuk memberikan sedikit motivasi di dalam memberikan perkhidmatan.
Membantu mengurangkan karenah birokrasi di dalam melakukan pinjaman untuk perumahan dan pembayaran kenderaan.

a) Segala urusan pinjaman untuk perkara asas yang menjadi keperluan perlu dibantu dan dipermudahkan. Halangan birokrasi untuk pengesahan pinjaman oleh pihak perbankan perlu diperhalusi.

Walaupun tidak semua tuntutan PAS tersebut dipenuhi, namun PAS ingin menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri di atas pengumuman rasmi PM pada 23 Julai 2021 tersebut. Ianya sekurang-kurangnya ibarat memberi Panadol bagi mengurangkan demam panas bagi penyakit kronik yang belum dapat dirawat.

PAS memahami masalah penjawatan memerlukan penelitian yang lebih terperinci. Walaupun ia merupakan tuntutan utama doktor-doktor kontrak sehingga Hartal Doktor Kontrak diadakan pada 26 Julai 2021, namun PAS tetap merasakan ianya adalah umpama simptom-simptom kepada penyakit kronik tersebut.

Walaupun PAS tidak bersetuju Hartal tersebut dilakukan pada ketika Pandemik Covid-19 memuncak, namun PAS merasakan mereka yang terlibat tidak wajar dihukum. Keluhan mereka perlu didengari dan simptom tersebut perlu diperhati.

Sekiranya kajian yang terperinci tidak dijalankan dan kita hanya merawat simptom sahaja, maka penyakit akan bertambah parah dan rangkaian simptom-simptom baru akan mula wujud sehingga penyakit langsung tidak dapat diubati.

Sebagai contoh sekiranya kerajaan menyerap keseluruhan 23,000 pegawai perubatan kontrak yang ada pada hari ini, kerajaan perlu menambah perbelanjaan sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun. Pertambahan RM240 juta setahun perlu ditambah dengan penambahan Pegawai Perubatan Siswazah baru dengan anggaran 5,000 orang graduan perubatan yang dihasilkan negara setiap tahun.

Ini belum termasuk pegawai pergigian, farmasi, jururawat, pembantu perubatan dan lain-lain yang juga berstatus kontrak. Belum lagi mengambil kira latihan kepakaran serta kebajikan pakar termasuk promosi mereka. Saban tahun ramai tenaga pakar meninggalkan perkhidmatan kerajaan di atas sebab-sebab tertentu. Justeru satu sistem yang bersifat anjal menggabungkan kedua-dua institusi kerajaan dan swasta dalam perkhidmatan kesihatan perlu dibentuk sepertimana negara-negara maju yang lain. Pada masa yang sama kos rawatan perubatan akan semakin meningkat saban tahun dengan penghasilan ubataan-ubatan baru dan teknologi rawatan baru. Kompleksiti perkhidmatan kesihatan dan beban kewangan akan memberi masalah bukan hanya pada masa ini tetapi di masa hadapan.

PAS percaya Kementerian Kesihatan Malaysia sudah mempunyai rancangannya yang tersendiri, namun reformasi kesihatan yang menyeluruh tidak dapat dilakukan tanpa penglibatan jabatan- jabatan dan kementerian-kementerian lain. Pada masa yang sama segala input dari semua pemegang taruh termasuk rakyat dan rentas parti politik perlu diambil kira.

Kerajaan perlu serius di dalam melakukan reformasi kesihatan ini dan ianya tidak boleh dibatasi oleh janji-janji manifesto pilihan raya yang tidak ditunaikan, Justeru PAS merasakan perlu bagi kerajaan membentuk segera satu Badan Bertindak Reformasi Kesihatan Negara bagi menghasilkan blueprint perkhidmatan kesihatan untuk dekad-dekad yang akan datang. PAS merasakan sudah sampai masanya perkhidmatan kesihatan berada di bawah Suruhanjaya Perkhidmatannya sendiri.

Ia perlu melibatkan semua pemegang taruh, termasuk:
Kementerian Kesihatan Malaysia
Kementerian Pengajian Tinggi
Kementerian Pertahanan
Kementerian Kewangan
Majlis Dekan
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
Jabatan Perkhidmatan Awam
Fakulti Perubatan Swasta
Rangkaian Hospital Swasta
Persatuan Perubatan Malaysia
Persatuan Perubatan Islam Malaysia
Malaysian Medical Council
Persatuan Jururawat Malaysia
Persatuan Doktor Gigi Malaysia
Persatuan Farmasi Malaysia
Wakil parti-parti politik negara dan lain-lain

Beberapa perkara utama perlu dikaji termasuk:
Sistem perkhidmatan kesihatan yang boleh melibatkan kerajaan dan swasta
Bentuk penjawatan
Emolumen setiap penjawatan
Penghasilan tenaga kerja
Cadangan pendapatan
Distribusi guna tenaga
Insurans Kesihatan
Dan lain-lain

Penutup

Masalah doktor kontrak merupakan salah satu simptom kepada penyakit di dalam perkhidmatan kesihatan negara. Sekiranya satu reformasi perkhidmatan kesihatan tidak dilakukan pada hari ini, ia akan terus membarah sehingga ia tidak dapat diperbaiki. Justeru satu Badan Bertindak Reformasi Kesihatan Negara perlu dibentuk secepat mungkin. Ia perlu bersifat rentas politik dan melibatkan semua pemegang taruh sehingga satu langkah tuntas dapat diambil bagi kebaikan perkhidmatan kesihatan negara iaitu melalui pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.

‘Pemulihan Tanpa Perubahan Adalah Satu Kegagalan’

PROF. MADYA DR MOHD MAZRI YAHYA
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat
17 Zulhijjah 1442 / 27 Julai 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo