Responsive Ad Slot

Syed Saddiq selesai bayar baki ikat jamin RM250,000

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menghadapi pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melunaskan baki bayaran jaminan berjumlah RM250,000 pada Isnin.

Pada 22 Julai lepas, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Syed Saddiq, 29, yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu, diikat jamin RM330,000 dengan wang jaminan RM80,000 dibayar pada hari sama (22 Julai), manakala selebihnya dibayar selewat-lewatnya esok.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Syed Saddiq, bekas Menteri Belia dan Sukan, ketika dihubungi pemberita berkata, baki wang jaminan itu dibayar oleh seorang penjamin di kaunter bayaran jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang turut dihadiri seorang lagi peguam, Loh Suk Hwa.


Ketika ditanya mengenai kehadiran Syed Saddiq, Haijan berkata: "Tiada keperluan untuk anak guam (Syed Saddiq) hadir ke mahkamah hari ini bagi membayar baki wang jaminan itu".

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo