Responsive Ad Slot

Ordinan Darurat boleh dibatal melalui dua cara, di luar dan dalam Dewan Rakyat - Prof Shamrahayu



KUALA LUMPUR: Ordinan Darurat ketika ini masih lagi berkuat-kuasa selagi mana ia belum diungkai atau dibatalkan di Parlimen.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata mengikut perkara 150 Fasal 3 Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan boleh dibuat melalui dua cara iaitu di luar dan di dalam Dewan Rakyat.

Katanya, jika ia dilakukan di luar Dewan Rakyat, penarikan ordinan darurat perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

“Sekiranya ia berlaku di luar dewan, persoalan timbul siapakah yang akan membenarkan pembatalan itu atau penarikan balik itu?

“Jadi, tafsiran di sini ialah sekiranya berlaku di luar dewan, ia boleh dicadangkan oleh menteri atau jemaah menteri kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kerana ordinan itu dibuat oleh ke bawah duli.

“Secara takfirannya ia nyatakan begitu. Siapa yang membuat ordinan itu, maka beliau atau dalam konteks ini, Baginda lah yang akan menarik balik atau membatalkan ordinan itu,” katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, bagi pembatalan di dalam Dewan Rakyat pula, Shamrahayu berkata, ia perlu dibahaskan di Parlimen.

“Tetapi sekiranya ia tidak ditarik balik sebelum Parlimen bersidang, ia hendaklah dibentangkan di kedua-dua dewan (Dewan Rakyat dan Negara).

“Tujuannya itu untuk diungkaikan sekiranya Parlimen bersedia untuk ungkaikan. Maksud ungkaikan ialah dibatalkan.

“Jadi, persoalannya ialah kalau nak dibatalkan, adakah Parlimen tidak perlu dibahaskan? Bagi saya pada taksiran untuk dibatalkan, perlu dibahaskan.

“Jadi ada dua cara, pertama di luar dewan dan di dalam dewan,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan apabila darurat tidak bersambung, Jemaah Menteri memutuskan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat berkuat-kuasa.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ordinan-darurat-boleh-dibatal-melalui-dua-cara-di-luar-dan-dalam-dewan-rakyat-prof-shamrahayu-311214

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo