Responsive Ad Slot

Polis dalam proses rakam keterangan Nadir, Caprice

Nadir (kiri) dan Caprice dalam proses merakam kenyataan.
Kuala Lumpur: Polis dalam proses untuk merakam keterangan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice berhubung misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, percakapan berkenaan bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat pendakwah terkenal, Ebit Lew yang mendakwa difitnah beberapa individu berkaitan misi itu menerusi media sosial.

"Kita belum rekod percakapan dua individu itu dan belum ada tarikh lagi. Polis sedang berusaha untuk berbuat demikian.

"Setakat ini, hanya Ebit yang sudah diambil keterangan. Saya akan maklumkan jika ada perkembangan lanjut berkaitan kes ini," katanya, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 serta 504 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 22 Julai lalu, Ebit dilaporkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk dirakam percakapan berkaitan isu terbabit.

Sebelum ini, pendakwah terkenal itu dipetik menafikan dakwaan Muhammad Nadir yang pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza.

Ebit turut menyifatkan dakwaan dibangkitkan Ketua Pegawai CGM itu sebagai fitnah melampau.

Pembantu peribadi Ebit, Arief Farhan pula dikatakan mempersoalkan tindakan Caprice yang disifatkan mencemar nama baik pendakwah itu.

Arief mempersoalkan mengapa Caprice perlu membangkitkan perkara remeh seperti alat permainan yang diagihkan kepada kanak-kanak, berbanding bantuan bernilai jutaan ringgit kepada penduduk Gaza.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo