NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ketagih nasi ganja, sanggup langgar sop rentas daerah guna helikopter

Sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh, untuk mengambil tempahan 36 bungkus nasi kandar daripada sebuah restoran terkemuka di Ipoh yang juga dikenali sebagai nasi ganja, pagi tadi. - Foto Ihsan AWANI Perak
IPOH: Polis membuka kertas siasatan mengenai kejadian helikopter mendarat di Padang Ipoh, di sini, semata-mata mengambil pesanan 36 bungkus 'nasi ganja', kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah serta negeri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342.


"Polis akan membuka kertas siasatan berkenaan isu tular helikopter dari Kuala Lumpur ambil pesanan nasi 'ganja' di Ipoh ini berdasarkan kesalahan melanggar SOP larangan rentas daerah atau negeri terhadap individu dan syarikat berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya mengesahkan sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh, di sini, antara jam 9.55 hingga 10.15 pagi tadi.

Beliau berkata, pemeriksaan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendapati helikopter berkenaan hanya diberi kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini.

"Selepas membuat semakan dengan pihak CAAM Ipoh, helikopter berkenaan didapati hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di LTSAS namun tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh," katanya.

Terdahulu, orang ramai 'terkejut' dengan kemunculan helikopter mendarat di Padang Ipoh, semalam, dipercayai untuk mengambil tempahan nasi kandar daripada sebuah restoran terkemuka di bandar raya ini.

Terdapat dua individu dalam helikopter berkenaan dipercayai milik syarikat swasta, 'ditugaskan' untuk mengambil tempahan nasi kandar yang dikenali sebagai nasi ganja.

Difahamkan, helikopter mendarat di Padang Ipoh, di sini untuk mengambil 36 bungkusan nasi ganja yang ditempah oleh pelanggan dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, seorang jurucakap restoran nasi ganja yang enggan namanya dikenali mengesahkan ada menerima 36 bungkusan nasi berlauk ayam, daging dan telur masin daripada pelanggan di Kuala Lumpur.

Pada mulanya, beliau meragui pesanan yang dibuat dengan menganggapnya sebagai jenaka kerana ia akan diambil menggunakan helikopter.

"Saya juga ragu-ragu kerana tidak pernah lagi pelanggan ambil pesanan dengan helikopter tetapi betul jadinya. Ini adalah kali pertama pesanan diambil pelanggan dengan menaiki helikopter. Ia macam pesanan mewah yang saya pernah terima tetapi harga setiap bungkusan nasi masih sama iaitu RM10," katanya.

- BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo