NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan PN dicabar kerana dominasi umat Islam



PENGUASAAN kerajaan Perikatan Nasional yang menunjukkan perubahan positif akan dicabar kerana ia didominasi umat Islam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tentangan tersebut berlaku kerana penguasaan oleh kumpulan tidak ekstrem dalam PN dibimbangi akan menyelesaikan banyak masalah dan akan membina semula kekuatan umat Islam.

Justeru, menurut Abdul Hadi, sudah pasti akan wujud gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara.

“Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya para pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara.

“Pada masa yang sama, hendaklah bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya rancangan yang sedang berlangsung di beberapa negara yang disebutkan di atas, gagal dibawa masuk ke negara kita.

“Apatah lagi adanya ejen-ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran. Kalau dahulu ditipu oleh penjajah British, janganlah pula hari ini berulang ditipu sehingga berkali-kali,” katanya.

Abdul Hadi menjadikan politik Tunisia yang kini sedang bergolak sebagai contoh bagaimana hanya kerajaan Islam sekular sahaja yang diizinkan wujud.

Malah kerajaan Islam Turki juga hampir ditumbangkan dalam satu rampasan kuasa oleh pihak yang tidak mahu melihat Islam bangkit.

“Umat Islam yang mengalami masalah yang sama ketika zaman penjajahan dan negara-negaranya yang mengekalkan konsep tersebut, terus tidak bangkit untuk menjadi negara yang maju dan kuat.

“Sebenarnya itulah bentuk penjajahan baharu dengan pendekatan baharu yang dilaksanakan, sekadar untuk menyekat penentangan umat Islam terhadap penjajah asing yang telah ditukar dengan penjajah tempatan yang dibentuk oleh mereka,” kata Abdul Hadi.

Di Malaysia, menurut Abdul Hadi kesedaran baru telah muncul apabila dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sebuah kerajaan sekular yang didominasi oleh kalangan bukan Islam telah ditubuhkan.

Beliau mendakwa, kumpulan Islam dalam kerajaan tersebut tidak lebih daripada sekadar menjadi khadam.

“Mereka ikut serta bersuara melindungi perancangan kerajaannya yang secara halus melumpuhkan Islam dan umatnya, supaya terus berada dalam kelekaan atau menjadi syaitan bisu.

“Walaupun begitu, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berjaya menyatukan parti-parti umat Islam dan bumiputera (UMNO, PAS dan BERSATU) di samping parti-parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem.

“Sehingga akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) kerana menyedari pendekatan ekstrem tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat.

“Bahkan ternyata kelemahan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah dalam masa yang singkat bersama kemenangan yang rapuh dan penuh dengan penipuan,” katanya.

Abdul Hadi, pihak berkenaan akan menghalang sebarang usaha untuk kembali semula kepada Islam yang sedang diperjuangkan di seluruh negara umat Islam termasuk di Malaysia. -SM

https://suaramerdeka.com.my/kerajaan-pn-dicabar-kerana-dominasi-umat-islam/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo