Responsive Ad Slot

FELDA perlu beri penerangan, bukan terus desak peneroka terima perjanjian penghapusan hutang

0
Saya tidak memberi apa-apa ulasan mendalam selepas YAB Perdana Menteri memberi hadiah yang besar kepada peneroka Felda pada majlis sambutan hari peneroka 07 Julai yang lalu. Kami anak- anak peneroka Felda menitis air mata tanda terima kasih apabila kerajaan PN bersetuju hapus atau buat penyelarasan hutang yang bernilai RM8.3 bilion.

Seminggu selepas itu, saya dan rakan-rakan Pertubuhan Bukan Kerajaan dari kalangan anak-anak peneroka terus dihujani pertanyaan menuntut penjelasan selepas pihak pengurusan FELDA meminta peneroka atau warisnya menandatangani perjanjian berkaitan Penghapusan Pinjaman sepertimana diumumkan kerajaan.

Dalam tempoh ini hampir setiap hari saya menerima ratusan pesanan ringkas, panggilan telefon dari peneroka Felda, anak-anak peneroka dan juga pimpinan masyarakat tanah rancangan serta Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mempunyai tanah rancangan di kawasan mereka. Saya memberi jawapan kepada semua persoalan ini agar mereka memahami terlebih dahulu terma-terma perjanjian yang disediakan dan menunggu penjelasan oleh pihak pengurusan FELDA terlebih dahulu.

Sehari dua selepas itu, kekecohan pertanyaan semakin membesar apabila pegawai-pegawai FELDA di tanah rancangan mualai bergerak rumah ke rumah peneroka untuk memastikan setiap peneroka menerima penghapusan hutang ini dengan menurunkan tanda tangan mereka ke atas perjanjian yang dibawa.

Mereka terpinga-pinga, seperti biasa ada yang terus tandatangan, ada yang merujuk kepada pihak lain terlebih dahulu seperti NGO-NGO berkaitan. Namun amaran atau peringatan dari pegawai yang bertugas memberi tekanan kepada peneroka apabila mereka diberitahu semua urusan ini akan perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu dan berakhir 23 Julai 2021.

Kami tahu, untuk mengurus 112, 638 peneroka berserta warisnya diseluruh 317 tanah rancangan seluruh negara agak sukar dalam tempoh dua minggu diberikan. Peliknya kenapa pihak pengurusan menetapkan tempoh ini yang pendek dan tergesa-gesa. Di mana penjelasan, penerangan yang dijanjikan?

Semua peneroka bersetuju dan gembira dengan apa yang diumumkan kerajaan, akan tetapi mereka teragak-agak apabila membaca terma- terma perjanjian yang disediakan ada diantaranya sangat tidak adil kepada peneroka untuk bersetuju. Sebab itu perlu penjelasan dan penerangan kesan dari penerimaan perjanjian ini.

Saya minta mereka bersabar dan tunggu penjelasan, tapi dengan tindakan pihak pengurusan sekarang tidak memungkinkan ada majlis penjelasan. Saya sendiri sudah membacanya dan memahaminya dan betul, memang ada terma-terma perjanjian yang membawa maksud satu ikatan yang sangat kuat dan tidak memihak kepada peneroka bahkan boleh saya katakan sangat berat sebelah serta menjadi halangan kepada hak-hak peneroka atau warisnya.

Kami cuba membantu pihak kerajaan dalam perkara ini. Beberapa pihak terutamanya NGO-NGO yang ada kaitan langsung dengan peneroka Felda terus membawa perkara yang timbul kepada pihak kerajaan khasnya Menteri Ekonomi. Maklumat terikini pihak Menteri sudah bersetuju untuk sesi perbincangan dengan wakil-wakil peneroka dan NGO dan sudahpun ada tarikh dan senarai wakilnya. Saya sendiri telah menerima surat dari pejabat Menteri bagi tujuan ini.

Oleh itu untuk lebih adil, berilah peluang kepada kami menyertai sesi perbincangan ini terlebih dahulu dan selepas sesi itu kami akan memberi komen bersama bagi

meleraikan kebimbangan peneroka dan warisnya kesan dari syarat--syarat yang peneroka anggap tidak munasabah, berat sebelah , mengikat, bahkan peneroka mendakwa FELDA mengambil kesempatan dari pengumuman kerajaan.

Dalam tempoh ini, pada pandangan saya, pihak pengurusan FELDA perlu menangguhkan dulu mendesak peneroka menerima atau menandatangani surat perjanjian penghapusan hutang sehingga satu kata sepakat semua pihak dicapai. Tidak perlu tergesa-gesa dalam masa dua minggu ini.


Sekian.
Naraza Muda.
Anak Peneroka Felda Jerangau Terengganu.
14 Julai 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo