NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak adil label Malaysia sebagai 'negara gagal': Ahli ekonomi

KUALA LUMPUR - Walaupun negara sedang mengharungi pelbagai cabaran ketika ini, adalah tidak adil untuk melabelkan Malaysia sebagai sebuah 'negara gagal', kata beberapa ahli ekonomi.

Profesor Ekonomi daripada Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, kakitangan kerajaan, terutamanya yang terlibat dalam usaha memerangi pandemik dan kegawatan ekonomi, sudah pastinya telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi mata pencarian.

"Meskipun penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan, penyampaian perkhidmatan awam yang sedang dilaksanakan dan pasaran yang berfungsi dengan baik, walaupun terganggu sekali sekala disebabkan kawalan pergerakan penuh, Malaysia dilabelkan dengan secara tidak adil sebagai sebuah ‘negara gagal’,” katanya dalam satu temu bual.

Kolumnis Bloomberg Daniel Moss, menerusi pandangan peribadinya dalam artikel bertajuk “Malaysia staggers down road to failed statehood”, berkata negara ini dilanda pelbagai krisis dan “ia mungkin sedikit keterlaluan untuk menggunakan label sebuah negara gagal.”

Bagaimanapun Kim Leng berkata, daripada merasa kecewa dengan label yang tidak adil itu, kerajaan seharusnya menyahutnya sebagai satu cabaran untuk menambah baik penyelarasan dasar dan kecekapan serta keberkesanan pelaksanaan.

"Ini termasuk menetapkan pelan pemulihan dan penyusunan semula ekonomi yang jelas, komprehensif dan boleh dicapai yang akan meredakan kebimbangan yang dilahirkan oleh mereka yang berpandangan Malaysia berada atau sedang menuju ke landasan negara yang gagal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kolumnis itu tidak mempunyai hak untuk melabelkan Malaysia sedemikian rupa.

"Semua rakyat Malaysia adalah orang yang rajin dan sangat bekerja keras. Setiap daripada kita sayangkan negara kita.

"Negara juga melalui pelbagai cabaran dan saya rasa kita rakyat Malaysia berjaya mengharunginya.

Sekurang-kurangnya kita dapat hidup dengan aman dan melakukan sesuatu dengan cara kita sendiri dengan mematuhi prosedur operasi standard,” katanya.

Meskipun mengakui terdapat cabaran namun katanya, “tidak wajar untuk melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara gagal”.

Seorang lagi ahli ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, masih ada ruang bagi Malaysia untuk pulih dan bangkit daripada pandemik serta kesukaran ekonomi yang dihadapi sekarang.

Katanya, susulan krisis yang mendedahkan kelemahan tertentu, Malaysia diberikan peluang untuk menetapkan pelan strategi baharu untuk memerangi pandemik serta mengekalkan keadaan ekonomi pada masa depan.

"Inilah masanya... kita perlu merancang strategi baharu untuk memerangi pandemik Covid-19 dan kegagalan ekonomi.

Kita perlu manfaatkan peluang ini.

"Kita masih boleh memulihkan kesejahteraan kesihatan, ekonomi dan sosial kita, tetapi ia tidak boleh berlaku tanpa sebarang usaha.

Kita perlu bekerja keras untuk melangkah kehadapan dan mengetepikan sebarang perbezaan politik dan perpecahan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan baru-baru ini sebagai berkata, bahawa pentadbiran Malaysia berfungsi seperti biasa walaupun berlaku pandemik ketika kerajaan berusaha memastikan pemulihan ekonomi dan rakyat dilindungi semasa pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan terbuka untuk menerima kritikan membina bagi memastikan negara pulih.

Namun, beliau menafikan Malaysia adalah negara yang gagal, dengan menyatakan bahawa negara yang gagal tidak akan dapat mentadbir dengan baik ketika berdepan dengan konflik dan kekacauan.

"Sekiranya ini adalah negara yang gagal, rakyat akan kelaparan dan masalah-masalah lain akan timbul," katanya.

Bersetuju dengan kenyataan Mustapa bahawa Malaysia bukan negara yang gagal, Ramon mencadangkan tiga strategi untuk kerajaan.

"Kita mesti membuka semula Parlimen untuk bersidang seperti yang dinasihatkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bina semula kerajaan dan kepimpinan kita.

"Keduanya, kita juga memerlukan kepimpinan terbaik untuk memimpin kita dengan kemampuan, kejujuran dan kesepakatan.

"Ketiga, Covid-19 telah mendedahkan struktur kelemahan kita.

Ini adalah peluang yang diberikan Tuhan bagi melakukan pembaharuan dan menangani ancaman serius terhadap kemampuan kita untuk mentadbir secara berintegriti dan membentuk perpaduan nasional.

"Kita harus menolak perkauman dan ketaksuban dan kronisme serta tamak dan mementingkan diri sendiri," tegasnya.

Kerajaan Malaysia telah melancarkan lapan pakej ekonomi bernilai RM530 bilion untuk menangani krisis yang dihadapi negara sejak pandemik Covid-19 bermula tahun lalu, daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat hinggalah kepada Pakej Kesejahteraan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi Nasional (PEMULIH) yang bernilai RM150 bilion baru-baru ini. - Bernama


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo