NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19 : 122 kes positif di Putrajaya, tertinggi pernah direkodkan

PUTRAJAYA : Sebanyak 122 kes positif Covid-19 yang dikesan di Wilayah Persekutuan Putrajaya hari ini adalah kes harian tertinggi pernah direkodkan.

Perkara itu disahkan Pusat Penyelarasan dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP) menerusi kenyataan akhbar hari ini yang memaklumkan, sebanyak 13 kes dikesan daripada dua kluster iaitu dua kes pekerja Aeon Alamanda dan 11 kes adalah daripada kluster baharu yang dikesan di Taska Kids Castle, PPAM Larai Presint 6, di sini.

Katanya, indeks kluster di Taska Kids Castle itu berpunca daripada guru taska yang beralamat di Puchong, Selangor.

“Selain itu, 80 kes lain pula adalah jangkitan kontak rapat. Daripada jumlah ini, 47 kes adalah kontak rapat melibatkan 17 keluarga manakala 33 lagi adalah kontak rapat tempat kerja.

“Sebanyak 29 kes pula adalah kes sporadik yang dikesan menerusi saringan bergejala dan survelan di fasiliti kesihatan,” katanya.

Katanya, Presint 9 mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 27 kes diikuti oleh Presint 11 (18 kes dan Presint 6 (15 kes). 

Selain itu, CCMC-WP berkata, majoriti kes di Presint 16 adalah daripada PPAM Larai berikutan pengesanan kluster baru di Taska Kids Castle. 

“Sebanyak 118 kes dikesan di Putrajaya adalah kategori 1 dan 2 iaitu sama ada tidak bergejala atau bergejala ringan, manakala empat kes mengalami radang paru-paru iaitu kategori 4,” katanya.

Sementara itu, CCMC-WP memaklumkan, sebanyak 97.5 peratus atau 2,515 kes positif Covid-19 di Kuala Lumpur dan Putrajaya pada hari ini adalah daripada kategori 1 dan 2, selebihnya iaitu 2.5 peratus atau 64 kes adalah dalam kategori 3, 4 dan 5. 

“Bilangan kes tertinggi yang direkodkan pada hari ini adalah yang melibatkan kes kontak rapat sebanyak 1,613 kes manakala yang kedua tertinggi adalah kes sporadik dengan 945 kes,” katanya.- UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo