NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BNM Umum Turun Kadar Faedah Khamis Ini

KUALA LUMPUR: Nomura menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan penanda aras pinjaman, kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) pada Khamis ini.
Ia akan menjadikan OPR, yang menjadi rujukan kadar faedah pinjaman tempatan pada 1.5 peratus, daripada kadar semasa 1.75 peratus.

Ahli ekonomi kanannya, Euben Paracuelles, berkata pihaknya berpandangan, sekatan pergerakan yang terkini telah merencatkan momentum pemulihan Malaysia.

Selain itu katanya, risiko penurunan yang dijangka oleh BNM sebelum ini, kini telah mula menunjukkan kesannya sekali gus memerlukan penyesuaian dalam dasar bagi menyokong keadaan pemulihan.

"Alasan lain yang menyokong kepada pengurangan OPR ini ialah akan membantu melegakan beban hutang terutamanya untuk isi rumah.

"Isi rumah Malaysia antara yang mempunyai nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di dunia iaitu lebih 90 peratus pada tahun lalu.

"Dan kami tahu kebanyakan hutang ini adalah berasaskan kadar berubah iaitu 80 peratus, maka dengan penurunan OPR ia akan menurunkan juga kadar pinjaman, sekali gus melegakan beban hutang kepada isi rumah," katanya.

Beliau berkata demikian di persidangan media Nomura bertajuk Unjuran Ekonomi, Mata Wang dan Ekuiti Separuh Kedua 2021 secara maya.

BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengadakan mesyuarat pada Khamis ini bagi menentukan keputusan sama ada untuk mengekalkan atau menurunkan OPR.

Kali terakhir OPR diturunkan ialah pada 7 Julai tahun lalu, iaitu sebanyak 25 bps menjadikan kadarnya 1.75 peratus yang mana kekal sehingga sekarang.

Mengulas lanjut Paracuelles berkata, alasan ketiga ialah kadar inflasi yang tidak menunjukkan prestasi seperti yang diunjurkan BNM untuk tempoh beberapa bulan lalu.

"Bank pusat mengunjurkan antara 6.5 dan 7.0 peratus inflasi, tetapi angka sebenar ialah kurang daripada 5.0 peratus.

"Saya berpandangan dengan sekatan pergerakan ini, ia menjadikan tekanan penurunan kepada ekonomi, walaupun kadar inflasi berada di dalam trajektori BNM, saya merasakan situasi ini lebih kepada menyokong pengurangan OPR," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 4.4 peratus pada tahun ini, berbanding jangkaan 5.6 peratus sebelum ini.

"Ini selepas mengambil kira impak daripada sekatan pergerakan yang dilaksanakan ketika ini dan kekangan fiskal kerajaan yang agak teruk," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo