NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adakah kerajaan Perikatan Nasional telah jatuh?



1. Dalam keadaan biasa, apabila satu parti besar, yang mempunyai jumlah ahli Parlimen yang dapat menentukan kedudukan seseorang Perdana Menteri, mengumumkan pembatalan sokongan, maka Perdana Menteri berkenaan dianggap telah kehilangan sokongan atau kepercayaan majoriti.

2. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(4) menyebut jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

3. Manakala, Perkara 43(2)(a) pula menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

4. Jadi dalam amalan yang pernah berlaku di peringkat kerajaan negeri di Perak, Sabah, Terengganu dan Johor misalnya, apabila Menteri Besar atau Ketua Menteri telah hilang sokongan majoriti, kebiasaannya meletakkan jawatan, dan Sultan kemudiannya melantik tokoh baru yang mendapat sokongan majoriti menggantikan tempatnya.

5. Namun begitu, dalam perkembangan yang berlaku hari kini, iaitu pengisytiharan Presiden UMNO bahawa sokongan partinya untuk kerajaan Tan Sri Muhyidin telah ditarik balik, beberapa faktor perlu diteliti terlebih dahulu.

6. Pertamanya, adakah pengisytiharan yang dibuat oleh beliau itu benar-benar mewakili keseluruhan Ahli Parlimen dari UMNO, atau mewakili sebahagian sahaja atau hanya mewakili dirinya sendiri.

7. Bagi mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan seperti Menteri, Timbalan Menteri atau pengerusi agensi kerajaan, pembatalan sokongan perlu ditunjukkan melalui perletakan jawatan.

8. Jika pembatalan sokongan hanya melibatkan sebahagian sahaja, maka perlu ditentukan adakah jumlah yang membatalkan sokongan itu cukup untuk menjadikan Perdana Menteri hilang sokongan majoriti.

9. Dalam situasi politik yang serba tidak menentu ini, perlu juga dilihat kemungkinan ahli-ahli Parlimen yang dahulunya berada di blok pembangkang, tetapi kini ingin beralih memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

10. Ringkasnya, situasi politik semasa menjadikan penentuan tahap sokongan kepercayaan kepada Perdana Menteri sukar dilakukan di luar Dewan Rakyat. Oleh yang demikian, kaedah yang paling tepat ialah dengan mengadakan satu usul dan undian khas bagi mengukur tahap sokongan Perdana Menteri sedia ada dalam Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai nanti.
 
11. Faktor kedua yang perlu dilihat ialah soal pengganti. Dalam satu-satu masa, perlu ada kerajaan yang mentadbir. Jika seorang Perdana Menteri hilang sokongan, penggantinya perlu segera dilantik. Pengganti berkenaan perlulah mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.
 
12. Buat masa ini belum nampak seorang tokoh yang benar-benar memenuhi kriteria berkenaan. Walau bagaimana pun, terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan berkenaan soal ini kerana pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a) adalah termasuk dalam kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong.

13. Faktor ketiga ialah situasi wabak Covid-19 yang melanda negara kini yang perlu diambil kira sebelum sesuatu tindakan diambil. Dalam situasi biasa, krisis politik begini boleh dirungkaikan melalui pilihan raya bagi membolehkan rakyat menubuhkan kerajaan baharu, sebagaimana yang pernah berlaku di Sabah akhir tahun 2020 yang lalu. Tetapi Pilihan Raya Negeri Sabah menyebabkan berlaku lonjakan besar kes Covid-19.

14. Oleh itu, adalah diharapkan agar krisis yang sedang berlaku kini tidaklah menyebabkan berlaku pembubaran Parlimen dalam masa terdekat kerana ia membawa risiko pilihan raya umum dalam tempeh 60 hari selepas pembubaran berlaku.

15. Langkah yang berbeza boleh diambil bagi memastikan wujud kestabilan politik bagi membolehkan negara memberikan fokus kepada usaha pemulihan dalam mendepani wabak Covid-19. Situasi semasa negara yang berada dalam tempoh darurat boleh dimanfaatkan untuk mengelakkan berlaku Pilihan Raya Umum terlalu awal.

16. Pilihan Raya Umum wajar dilaksanakan selepas negara melepasi Fasa ke-4 Pelan Pemulihan Negara, atau sekurang-kurangnya selepas Fasa ke-3, bagi memastikan mengurangkan risiko meningkatan kes di luar kawalan akibat kempen pilihan raya. Buat masa ini, kerajaan dan ahli-ahli politik perlu mengambil langkah berhati-hati agar sebarang kemelut politik dapat dirungkaikan dengan tenang, bijak dan selamat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo