Responsive Ad Slot

2 pertuduhan pecah amanah untuk mantan menteri PH?


Tuduhan rasuah: Buktikan integriti sebagai pemimpin

SECARA rasminya mantan Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Julai 2021 dengan dua pertuduhan pecah amanah.

Pertuduhan pertama, beliau didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), menggunakan kapasiti yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana tersebut, di mana tertuduh dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Berasaskan kepada prinsip kedaulatan undang-undang, kita perlu berlaku adil terhadap beliau yang baru dikenakan tuduhan dan masih belum terbukti bersalah. Dalam kaedah undang-undang, seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah (innocent until proven guilty) oleh pihak mahkamah.

Adalah tidak wajar kita untuk melemparkan atau menggelar seseorang dengan pelbagai jenis gelaran jenayah selagi seseorang itu belum dibuktikan bersalah oleh pihak mahkamah di akhir proses perbicaraan.

Kita letakkan kepercayaan kepada institusi kehakiman untuk membicarakan kes dan memberi ruang kepada tertuduh mendapat keadilan yang sebaiknya dan seterusnya membukti diri tidak bersalah dan membersihkan nama.

Kes ini telahpun disiasat lebih setahun yang lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ianya di bawa ke mahkamah baru-baru ini. Malah, Ahli Parlimen Muar ini pada awalnya mengalu-alukan siasatan oleh SPRM dan sedia memberikan kerjasama yang sebaiknya bagi memastikan kes ini dapat diselesaikan.

Namun, apabila tuduhan telah dikenakan kepada beliau oleh mahkamah, lain pula lenggok bahasa yang diutarakan. Syed Saddiq melihat bahawa tuduhan terhadapnya bermotifkan politik sedangkan beliau mahukan kes ini disiasat bagi membersihkan namanya.

Keduanya, Syed Saddiq melemparkan tuduhan bahawa pendakwaan ke atasnya disebabkan keengganan tertuduh menyertai dan menyokong parti Perikatan Nasional. Tidak dipastikan daripada mana sumbernya namun tuduhan tidak berasas ini memperlihatkan agenda politik beliau untuk membawa kes ini kepada penagihan simpati dari rakyat.

Ini ditambah lagi dengan kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam menyatakan sokongan terhadap Syed Saddiq dan menyifatkan pendakwaan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebagai pendakwaan terpilih.

Sebagai seorang mantan Menteri, adalah wajar beliau menunjukkan contoh kepada generasi muda agar menghormati sistem perundangan negara walaupun ketika ini beliau sedang menghadapi pertuduhan ke atas dirinya.

Integriti seseorang pemimpin bukan sahaja berkaitan dengan apa yang diucapkannya malah ia berkait rapat dengan jati diri pemimpin yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar dan berpegang kepada prinsip. Berjiwa besar, letakkan soal politik ke tepi dan hadapi kes di mahkamah dengan sebaiknya.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo