NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tambahan RM1 bilion tingkat kadar vaksinasi




28 JUN: Kerajaan akan menyalurkan RM1 bilion untuk meningkatkan kadar pemberian vaksin termasuk RM400 juta daripadanya bagi menambah bekalan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertambahan jumlah bekalan vaksin yang ditempah Malaysia adalah mencukupi untuk menampung 130 peratus populasi rakyat, berbanding 120 peratus sebelum ini.

“Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan dan bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun.

“Anak-anak yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diutamakan. Saya juga ingin tegaskan, kerajaan sedang memantau rapat dan membuat kawalan ketat berikutan penularan varian COVID-19 Delta Plus.

“Ini kerana ia menyebabkan beberapa negara kembali mencatatkan peningkatan jangkitan dan terpaksa melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM200 juta bagi membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, menaik taraf PPV sedia ada, melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program Outreach Home-toHome.

Katanya, sehingga hari ini, Kerajaan telah membuka sebanyak 341 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara yang terdiri daripada 320 PPV Awam, 13 PPV Mega dan lapan (8) PPV IPT.

Beliau berkata kerajaan bersetuju untuk menyelaras kadar pembayaran elaun khas kepada 14,000 petugas barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam PICK daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan bermula Julai 2021.

“Sebelum ini, saya telah umumkan kenaikan bayaran sagu hati daripada RM50 kepada RM100 ringgit sehari bagi sukarelawan kesihatan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun 2021.

“Selain itu, bayaran sagu hati ini turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain PPV seperti di pusat kuarantin. Saya juga telah meminta agar PPV beroperasi tujuh hari seminggu bagi mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat.

“Kedua-dua inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta sebagai pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta,” katanya.

http://www.pnbbcportal.com/2021/06/28/tambahan-rm1-bilion-tingkat-kadar-vaksinasi/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo