Responsive Ad Slot

PUM bimbang fenomena bunuh diri meningkat – Segera hulurkan bantuan

0


KENYATAAN MEDIA

27 Jun 2021 || 17 Zulkaedah 1442

PUM BIMBANG FENOMENA BUNUH DIRI MENINGKAT – SEGERA HULURKAN BANTUAN

Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) merasa bimbang terhadap laporan beberapa media yang menyatakan bahawa terdapat peningkatan kes bunuh diri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dihadapi oleh seluruh rakyat Malaysia ketika ini.

Masalah kebimbangan dan kemurungan yang dihadapi oleh rakyat sekarang ini memerlukan perhatian serius dan tindakan pantas oleh pihak berkuasa. Kebimbangan dan kemurungan ini boleh berlaku di atas banyak faktor, seperti hutang, kehilangan pekerjaan, kehilangan sumber pendapatan dan sebagainya.

Ada yang mengambil jalan pintas tanpa berfikir panjang dengan melakukan perkara yang boleh mengancam nyawa, malah yang lebih teruk adalah mereka terus mengambil keputusan secara senyap dengan membunuh diri.

Oleh itu, kerajaan perlu bertindak segera untuk menangani fenomena ini dengan beberapa cadangan seperti berikut:

1. Mewujudkan segera kerjasama pelbagai agensi berkaitan bagi menangani isu ini secara bersepadu dan mewar-warkan segera melalui media massa agar mereka yang bermasalah dapat dibantu.

2. Kementerian berkenaan perlu menggerakkan skuad prihatin rakyat atau skuad penyayang bagi memberikan nasihat-nasihat berguna kepada yang memerlukan sebagai langkah pencegahan dan pemulihan, beserta pemberian skim-skim bantuan yang sewajarnya.

3. Mempergiatkan penerangan di dalam media massa, TV dan Radio agar rakyat mengetahui di mana tempat mereka boleh mengadu.

4. Mempercepatkan vaksinasi kepada golongan agamawan, seperti para imam dan AJK Masjid, agar masjid dapat dibuka segera kepada orang awam dengan SOP yang ditetapkan bagi mengawal gejala kebimbangan dan kemurungan yang berlaku dalam masyarakat.

Akhir sekali, PUM berharap agar tindakan ini dapat dipercepatkan dan pihak kami bersedia membantu dalam aspek mengurangkan tekanan mental dalam masyarakat Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Dato’ al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir

Yang di-Pertua,
Persatuan Ulama’ Malaysia.
https://www.facebook.com/125995020796835/posts/4350479511681677/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo