Responsive Ad Slot

PAS menjunjung kasih titah Agong, Raja-Raja Melayu


KUALA LUMPUR: PAS menjunjung kasih ke hadapan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli-Duli Raja-Raja Melayu yang mengambil perhatian berat terhadap usaha menghadapi pandemik Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan yang diambil oleh Baginda Tuanku bertemu dengan pemimpin-pemimpin politik dan mendengar taklimat daripada agensi-agensi Kerajaan, menunjukkan bahawa Baginda Tuanku amat mengambil perhatian terhadap situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Ini turut membuktikan Institusi Raja-Raja Melayu jelas menjadi payung kepada seluruh rakyat tanpa mengira kepercayaan agama dan fahaman politik,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PAS menyanjung tinggi titah pandangan Baginda Tuanku yang menekankan supaya semua pihak mewujudkan suasana tenang dengan mengurangkan politiking supaya kerajaan dan semua pihak dapat memberikan fokus untuk menghadapi wabak itu dan menjaga kebajikan rakyat yang terkesan daripada wabak itu.
Advertisement

PAS juga, kata beliau menjunjung tinggi titah pandangan Tuanku agar kerajaan segera mengadakan sidang parlimen, mempercepatkan pemberian vaksin serta penting adanya kerajaan yang stabil dan kukuh berfungsi dengan efektif menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“PAS melihat perkara ini adalah selaras dengan usaha yang sedang giat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan ketika ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, PAS yakin dengan usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah berjaya memberikan suntikan vaksin Covid-19 secara konsisten melebihi 200,000 dos sehari.

Menurutnya, ia sebagai kayu ukur dalam mencapai target 80 peratus rakyat divaksin sehingga hujung tahun ini.

“Selaras dengan strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, PAS melihat perancangan kerajaan melalui empat fasa yang dikemukakan mampu menguruskan krisis kesihatan dan memulihkan ekonomi negara dengan baik,” ujarnya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.

PAS juga, kata beliau meyakini bahawa titah pandangan Baginda Tuanku berkenaan sidang parlimen adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengadakan sidang parlimen sebagaimana juga yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

“Keprihatinan Baginda Tuanku dan seluruh Duli-Duli Raja-Raja Melayu perlu disambut secara serius oleh seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan Malaysia bebas daripada wabak Covid-19,” tambahnya.

Rabu lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya exit strategy bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sehubungan dengan itu, ujar beliau Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Pada 10 Jun lalu, Tuan Ibrahim mewakili Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Beliau berkata, perbincangan berlangsung hampir satu jam berkisar perkembangan isu Covid-19, darurat dan persidangan Parlimen.

“Tuanku sangat terbuka dan mesra berbincang, namun baginda serius apabila menitahkan hal-hal yang berkaitan kes-kes Covid-19 yang sedang berlaku,” ujarnya.

Menurutnya, PAS merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan akan terus mendukung pendirian yang diambil untuk menangani pandemik Covid-19 yang melanda negara hari ini.

PAS juga, ujar beliau telah mengarahkan seluruh jentera parti untuk terus memobilisasi usaha membantu petugas barisan hadapan dalam semua inisiatif di bawah program vaksinasi kebangsaan seperti melancarkan kempen dan bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 18/6/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/18/pas-menjunjung-kasih-titah-agong-raja-raja-melayu/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo