KUALA LUMPUR: Pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah berhubung persidangan Parlimen, tidak memperincikan bila ia perlu dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Tuanku hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.
Takiyuddin berpandangan, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bahawa Parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober, juga bertepatan dengan saranan 'secepat mungkin' yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah.
"Perkataan digunakan dalam kenyataan Yang di-Pertuan Agong adalah 'persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin'.
"Yang di-Pertuan Agong pun tidak menitahkan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin.
"Perdana Menteri kata pun September atau Oktober. Sekarang kita dah hampir penghujung Jun. Selepas ini Julai, Ogos, September...sudah hampir. Pasti persidangan akan diadakan," katanya pada Bicara Harakah bertajuk 'Proklamasi Darurat: Berjaya atau Sebaliknya' yang disiarkan secara maya, hari ini.
Beliau mengulas pandangan yang dizahirkan baginda supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam, dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dilaporkan berkata, pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, semua Ahli Parlimen juga perlu memberi tumpuan kepada saranan Al-Sultan Abdullah yang mahu peranan Parlimen menjadi platform penting untuk wakil rakyat membincangkan pelbagai isu, khususnya berkaitan COVID-19.
"Yang di-Pertuan Agong titah bincang isu COVID-19, jadi kita fokus tentang COVID. Kerajaan sedia terima pandangan dan saranan daripada pembangkang sekali pun.
"Tuanku tak titah (untuk bincang) perkara lain. Jangan nanti bila sampai Parlimen...macam biasa, kita tahu," katanya, dipercayai merujuk pada usaha pihak tertentu untuk melaksanakan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/828676/tuanku-titah-secepat-mungkin-tak-sebut-bulan-berapa-takiyuddin
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/828676/tuanku-titah-secepat-mungkin-tak-sebut-bulan-berapa-takiyuddin
No comments
Post a Comment