Responsive Ad Slot

PAS ketengah isu doktor kontrak ke Kabinet




KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan PAS Pusat menyatakan komitmen menghantar kertas kerja dan cadangan kepada Kabinet bagi membincang lebih terperinci berkenaan status doktor berjawatan kontrak.

Pengerusinya, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, cadangan itu penting bagi masa depan sektor kesihatan di Malaysia.

Katanya, perjawatan doktor kontrak di Malaysia bagi graduan warga tempatan dimulakan pada awal 2016 bagi menghadapi ketidak seimbangan antara jumlah graduan perubatan yang dihasilkan dan perjawatan tetap disediakan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Advertisement

Kata beliau kumpulan pertama doktor kontrak warga tempatan dijangka akan tamat tempoh kontrak pada Disember 2021.

“Ia melibatkan ribuan doktor yang sedang berkhidmat di pelbagai fasiliti kesihatan di seluruh Malaysia.

“Beberapa permasalahan yang dihadapi doktor-doktor kontrak seperti masalah kenaikan pangkat, menyambung pengajian di peringkat sarjana, cuti tahunan dan pelbagai lagi.

“Sedangkan situasi itu tidak dihadapi perjawatan tetap walaupun doktor kontrak diberi beban kerja dan tanggung jawab yang sama dengan perjawatan tetap,” katanya pada sesi diskusi bersama lebih 200 doktor kontrak melalui aplikasi Zoom semalam.

Sebuah akhbar sebelum ini melaporkan sekumpulan pegawai perubatan kontrak yang mewakili 23,000 doktor mendesak kerajaan menyelesaikan isu penempatan tetap mereka.

Dr Mazri juga berkata, wujud puluhan fakulti perubatan dalam dan luar Malaysia yang menghasilkan graduan perubatan sehingga berlaku ketidakseimbangan di antara lulusan graduan perubatan dan perjawatan tetap yang disediakan.

Pada diskusi itu beberapa doktor kontrak menyenarai permasalahan doktor kontrak termasuk ketidak tentuan masa hadapan dan kesan negatif yang bakal dihadapi sektor kesihatan di Malaysia.

Sesi diskusi Zoom anjuran Lujnah Kesihatan PAS Pusat tersebut turut dikunjungi beberapa pakar perubatan, pengarah hospital dan kaunselor kerjaya sekolah. – HARAKAHDAILY 29/6/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/29/pas-ketengah-isu-doktor-kontrak-ke-kabinet/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo