NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pahang: Hadir Ke PPV Tanpa Temu Janji Boleh Dikompaun-JKNP

6 JUN: Mana-mana pihak yang didapati merancang untuk mencuba nasib bagi mendapatkan vaksin COVID-19 dengan hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) tanpa sebarang temu janji yang telah ditetapkan boleh dikenakan tindakan kompaun.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Bahari Tok Muda Awang Ngah berkata, peringatan itu dibuat kerana tindakan kumpulan atau individu yang melakukan tindakan tersebut telah menyebabkan kawasan PPV mengalami kesesakan dan menyukarkan proses kawalan keselamatan dilakukan.

Menurut beliau, pihaknya kecewa dan kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang bertindak melakukan perbuatan sedemikian.

“Saya ada menerima laporan daripada PPV membabitkan kes individu tanpa temu janji yang berkumpul di pusat vaksin dengan harapan diberi peluang mendapatkan vaksin COVID-19.

“Kita perlu ikut proses yang ditetapkan, bukan boleh datang secara ‘walk-in’ seperti itu. Bila keadaan seperti ini berlaku, petugas di PPV terpaksa meminta bantuan pihak berkuasa untuk mengarahkan kumpulan atau individu ini beredar dari kawasan (PPV) berkenaan.

“Jadi, untuk kali ini kita memberi amaran dan peringatan terlebih dahulu. Namun, jika perkara ini terus berulang, kita tiada pilihan lain kecuali mengeluarkan kompaun kepada mereka yang sengaja hadir ke PPV tanpa temu janji,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Bahari memberitahu kaedah pengurusan vaksin di semua PPV dilakukan berdasarkan senarai temu janji yang sudah disahkan melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, perkara tersebut sepatutnya sudah difahami oleh orang ramai secara jelas menerusi platform khusus yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pahang

“Segala temu janji boleh disemak melalui dua platform iaitu aplikasi MySejahtera dan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang.

“Jika anda belum menerima pengesahan temu janji untuk suntikan vaksin jadi jangalah datang kerana tindakan itu boleh menyebabkan kesesakan. Kita sebenarnya tidak mahu kehadiran terlalu ramai orang di PPV dalam satu-satu masa,” katanya

Sementara itu, Bahari memaklumkan, pihaknya sudah mempunyai senarai nama kedua sekiranya individu yang dijadualkan menerima vaksin tidak dapat hadir.

“Semua senarai penerima vaksin dan daftar nama kedua akab dihubungi, sekiranya penerima yang dijadualkan tidak hadir. Tiada istilah orang ramai mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin kerana kita sudah laksanakan secara sistematik.

“Kita tidak semudahnya akan melayan permintaan individu yang ingin mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ kerana semua itu perlu mengikut prosedur ditetapkan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

http://www.pnbbcportal.com/2021/06/06/hadir-ke-ppv-tanpa-temu-janji-boleh-dikompaun-jknp/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo