NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SPR sahkan PRN Sarawak tangguh hingga tamat Darurat

6 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) ditangguhkan sehingga proklamasi darurat tamat.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung dengan tamat tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-18, hari ini.

Bagaimanapun, Ikmalrudin berkata mengikut Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, bagi tempoh darurat berkuat kuasa peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan DUN Sarawak tidak mempunyai kesan dan ia akan ditetapkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Manakala Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga memperuntukkan pilihan raya Dewan Undangan Negeri bagi tempoh darurat berkuat kuasa tidak mempunyai kesan dan tarikh PRN Sarawak hendaklah diadakan pada tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Oleh yang demikian, memandangkan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021 [P.U.(A) 7/2021] dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan PRN yang sedang berkuat kuasa maka Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad Asfia mengumumkan tempoh DUN Sarawak yang matang hari ini dilanjutkan sehingga proklamasi darurat tamat pada 1 Ogos depan.

Mohamad Asfia dalam kenyataannya hari ini berkata, notis lanjutan itu telah dihantar kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menerusi emel hari ini.

Jelas Asfia, dalam notis tersebut turut memaklumkan Pilihan Raya Negeri akan diadakan pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

http://www.pnbbcportal.com/2021/06/06/spr-sahkan-prn-sarawak-tangguh-hingga-tamat-proklamasi-darurat/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo