NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peruntukan RM15 Juta Beli Komputer Riba Untuk 10,000 Pelajar




6 JUN: Kerajaan negeri memperuntukkan RM15 juta bagi memberi bantuan komputer riba kepada 10,000 pelajar Tingkatan 5 dan 6 di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pemberian komputer riba kepada calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dibuat menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) bermula 19 Julai hingga 18 Oktober ini.

Hajiji berkata pemberian itu dipersetujui kabinet Sabah dengan peruntukan bernilai RM15 juta.

“Pengagihan akan mengambil masa selama kira-kira tiga bulan sehingga Oktober ini dan kerajaan negeri berharap pemberian komputer riba ini akan membantu pelajar yang tidak berkemampuan.

“Ini adalah kaedah yang kita (kerajaan negeri) ambil untuk membantu agar pelajar yang tidak berkemampuan tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata pengagihan fasa satu ini melibatkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

Beliau berkata pengagihan berkenaan membabitkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang termasuk dalam kategori e-kasih miskin tegar.

Malah, komputer riba pelbagai jenama itu juga boleh digunakan sehingga melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Terdahulu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan disambung lagi untuk tempoh 25 hari apabila sesi persekolahan dibuka semula pada 13 Jun bagi kumpulan A dan Kumpulan B pada 14 Jun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata proses PdPR berkenaan akan berterusan hingga cuti pertengahan penggal pada 16 dan 17 Julai ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo