NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

OIC perlu perubahan drastik demi masa depan ummah dan Islam.






Kemusnahan yang melanda Semenanjung Gaza baru - baru ini akibat serangan bertali arus selama 11 hari oleh tentera regim zionis Israel hingga menyebabkan lebih 200 nyawa terkorban dan 2000 yang lain cedera sebenarnya telah menyedarkan banyak pihak baru akan keadaan sebenarnya yang berlaku di Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza.

Ia juga sebenarnya telah membuka pekung regim zionis Israel selama ini yang telah berpura - pura kepada seluruh dunia bahawa negara haram Israel dan pendatang haram Yahudi adalah mangsa kepada keganasan dan kekejaman pejuang Palestin mahupun penduduk Palestin yang selama ini dianggap sebagai pengganas.

Sejak berlakunya serangan tersebut dan tersebar dengan meluasnya kekejaman dan serangan yang dilakukan oleh regim zionis Israel terhadap rakyat Palestin dan Semenanjung Gaza terutamanya di berita mahupun rakaman video oleh rakyat Palestin yang disebarkan melalui platfom media sosial, warga dunia seakan - akan terkejut akan hakikat keadaan sebenar di Palestin.

Begitu juga dengan kisah pengusiran penduduk Palestin di Sheikh Jarrah yang mendapat liputan meluas di seluruh dunia yang menyanggah tipu daya dan muslihat media Israel dan barat yang bersekongkol dengan regim zionis Israel selama ini yang memaparkan berita atau naratif sebaliknya.

Sebahagian umat dan Dunia Islam yang selama ini sambil lewa memandang Palestin akibat termakan naratif dan tipu daya media barat yang bersekongkol dengan regim zionis Israel telah sedar dan bangkit apabila berlakunya beberapa siri pencerobohan oleh polis dan tentera regim zionis Israel ke atas Masjidil Aqsa disamping menembak, memukul dan menangkap rakyat Palestin yang sedang beribadah mahupun yang berada di perkarangan Masjidil Aqsa.

Kesemua insiden diatas kali ini benar - benar menyedarkan umat dan Dunia Islam akan apa yang sedang berlaku di Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza. Ia juga mula membuka mata warga dunia akan kekejaman dan kezaliman yang dilakukan regim zionis Israel termasuk pendatang haram yahudi ke atas rakyat Palestin.

Sejak berlakunya serangan ke atas Semenanjung Gaza, pencerobohan ke atas Masjidil Aqsa dan pengusiran penduduk Palestin di Sheikh Jaraah, saban hari kelihatan perarakan dan demonstrasi di bandar - bandar utama di seluruh dunia yang mengecam dan mengutuk kekejaman serta kezaliman yang dilakukan oleh regim zionis Israel.

London, New York, Los Angeles, Boston, Chicago, Berlin, Paris, Seoul, Tokyo, Amsterdam, Sydney, Auckland dan puluhan lagi bandar utama di seluruh dunia menyaksikan kehadiran ribuan orang menyertai perarakan dan demonstrasi mengecam tindakan regim zionis Israel di Semenanjung Gaza dengan demonstrasi di Hyde Park, London menyaksikan kehadiran terbesar dalam sejarahnya iaitu seramai lebih 200,000 orang.

Ia sebenarnya menjadi sejarah kerana belum pernah berlaku penentangan atau bantahan sebegini besar di seluruh dunia terhadap regim zionis Israel. Disamping itu juga akibat penentangan dan kecaman sebegini daripada warga dunia terhadap regim zionis Israel terutamanya dari barat, sejarah sebenarnya bagaimana bermulanya kebangkitan rakyat Palestin dan saat Palestin menjadi jajahan regim zionis Israel termasuk Deklarasi Balfour mula terbongkar.

Regim zionis Israel yang selama ini bermegah kerana berjaya memanipulasi dunia dengan menggambarkan mereka menjadi mangsa mula resah kerana kebangkitan besar sebegini rupa. Segala - gala yang disembunyikan selama ini satu persatu telah dilondehkan hingga terbongkar segalanya.

Dalam beberapa kaji selidik terbaharu yang dijalankan dibanyak negara yang menjadi rakan karib dan strategik regim zionis Israel seperti di Amerika Syarikat dan negara - negara Eropah, hampir 70 perastus rakyat di negara - negara tersebut mula meragui segala naratif yang selama ini dibawa oleh regim zionis Israel.

Malah di Amerika Syarikat sendiri bukan sahaja rakyatnya mula meragui regim zionis Israel malahan terdapat sebilangan besar pemimpin politiknya mula membantah tindakan regim zionis Israel secara terang - terangan malah mula mempertikaikan bantuan kewangan yang selama ini disalurkan kepada negara haram Israel.

Melihat kepada situasi berkenaan, ia adalah satu perkembangan yang amat baik untuk perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman regim zionis Israel dimana sebelum ini dunia barat dan warganya cukup sukar untuk menyatakan bantahan secara terbuka mahupun mengecam tindakan regim zionis Israel secara terang - terangan.

Namun yang menjadi persoalan, bagaimana pula dengan negara dikalangan Dunia Islam dan rakyatnya. Bagaimana pula dengan pertubuhan utama Dunia Islam iaitu OIC yang sepatutnya menjadi juara pembebasan Palestin dan mengangkat martabat umat dan Dunia Islam ? Secara jujurnya, ia masih tidak menampakkan perubahan dan tanda - tanda kelemahan jelas terpapar terutamanya pada OIC.

Ketika pesawat - pesawat pejuang regim zionis Israel membenam Semenanjung Gaza dan penduduknya, negara - negara yang menjalinkan hubungan normalisasi dengan regim zionis Israel langsung tidak bersuara menyatakan bantahan terhadap kekejaman tersebut. Masih lagi terdapat negara - negara Dunia Islam yang seolah - olah bersikap segan silu menempelak dan mengecam tindakan regim zionis Israel.

Negara - negara Dunia Islam seolah - olah terbahagi kepada 3 kelompok, pertama yang benar - benar memperjuangkan pembebasan Palestin, kedua yang seperti tidak mahu menjejaskan kredibiliti dan hubungan baik dengan negara kuasa besar dunia yang menjadi pendokong kuat regim zionis Israel seperti Amerika Syarikat dan ketiganya yang memang menjalinkan hubungan baik dengan regim zionis Israel seperti negara yang menjalinkan hubungan normalisasi dengan regim zionis Israel.

Melihat kepada keadaan semasa terutamanya bersangkutan Palestin, jelas kelihatan umat dan Dunia Islam berpecah - belah, lemah dan tiada kekuatan kesatuan. Krisis di Syria, Libya, Yaman dan Iraq adalah petanda jelas kelemahan umat dan negara - negara Dunia Islam terutamanya OIC.

Jika krisis di ke empat - empat negara ini masih lagi tidak mampu diselesaikan oleh negara - negara Dunia Islam mahupun OIC, bagaimana mahu menyelesaikan konflik di Palestin yang telah memakan masa lebih daripada satu abad dan hampir melenyapkan Palestin dari peta dunia.

Itu tidak termasuk lagi konflik negara - negara Dunia Islam di benua Afrika seperti Somalia, Mali dan Nigeria, kebanjiran pelarian dari negara - negara Islam seperti dari Syria dan Libya di negara - negara Eropah, kezaliman yang berlaku ke atas golongan minoriti Islam di Kashmir, Xinjiang dan juga bangsa Rohingya di Myanmar serta situasi Islamofobia yang berlaku ke atas umat Islam di seluruh dunia.

Disinilah sebenarnya OIC perlu memainkan peranan penting untuk menyatu - padukan seluruh umat dan negara - negara Dunia Islam. Sebagai sebuah persatuan tunggal bagi seluruh negara - negara Dunia Islam, OIC sewajarnya menjadi institusi amat penting dalam mengembalikan ukhuwah, kerukunan, kesatuan dan kekuatan Islam dimata umat Islam mahupun dunia.

Bagaimanapun melihatkan kepada keadaan OIC sekarang, ianya seolah - olah menjadi bahan jenaka dan kecaman daripada umat Islam sendiri dari seluruh dunia. OIC seolah - olah kelihatan tidak bermaya dan hanya menjadi tunggangan segelintir negara - negara Dunia Islam untuk kepentingan masing - masing.
OIC sewajarnya ataupun sepatutnya menjadi wadah dan medan penting untuk kekuatan, masa depan dan kegemilangan umat dan Dunia Islam namun melihat kepada segala yang berlaku saat ini, OIC sememangnya mengecewakan umat dan Dunia Islam secara keseluruhan seumpama tidak berfungsi, tidak bermaya dan hampir kepupusan.

Oleh itu, OIC harus berubah dan dilakukan transformasi secara menyeluruh agar mampu mendepani cabaran semasa yang menyelubungi umat dan Dunia Islam saat ini disamping merencanakan semula segala agenda dan keutamaan demi untuk kelangsungan, masa depan serta mengembalikan kegemilangan umat dan Dunia Islam.

Untuk melakukan transformsi secara menyeluruh ke atas OIC, kegagalan segala agenda sebelum ini harus diakui agar dapat diperbaiki kelemahan yang ada dan ia bukannya untuk menuding jari kepada mana - mana pihak tetapi lebih kepada memperbetulkan keadaan yang menjadikan OIC lemah, tidak bermaya dan kaku.

Terdapat lima komponen utama yang wajar diterapkan ke dalam OIC agar matlamat, agenda dan transformasi dapat dilaksanakan.

  1. Penstrukturan semula organisasi dari setiap sudut dan peringkat.
  2. Islam dan perpaduan ummah perlu dijadikan keutamaan.
  3. Merencanakan semula setiap agenda berdasarkan keadaan semasa.
  4. Mengangkat kembali Islam sebagai agama terbaik buat umat manusia.
  5. Mengembalikan Islam sebagai kuasa utama dunia yang terunggul.
Setelah diterapkan lima komponen utama ini ke dalam OIC untuk dilaksanakan serta dijiwai oleh setiap lapisan kepimpinan dan juga kakitangan OIC, maka seterusnya baharulah transformasi yang menyeluruh mampu dilakukan agar setiap lapisan kepimpinan yang berada didalam OIC dapat menjiwai aspirasi baharu yang bakal dilakukan di dalam OIC dimana keutamaannya adalah untuk umat dan Dunia Islam.

Kepimpinan yang menerajui OIC setelah dilakukan transformasi perlu memahami matlamat utamanya iaitu untuk umat dan Dunia Islam, bukan mana - mana individu, negara dan organisasi. OIC juga perlu dielakkan untuk digunakan sebagai “ kuda tunggangan “ bagi mana - mana individu, negara mahupun organisasi untuk kepentingan peribadi mahupun politik mereka.

Setelah itu OIC perlu menumpukan perhatian kepada beberapa agenda yang perlu menjadi keutamaan ketika ini seperti :

  1. Penyelesaian Isu Palestin.
  2. Penyelesaian konflik di negara - negara Islam seperti di Libya, Syria, Iraq dan negara - negara Islam di benua Afrika.
  3. Penyelesaian isu minoriti Islam di Myanmar, Kashmir dan Xinjiang.
  4. Menangani isu Islamofobia yang berlaku ke atas umat Islam di seluruh dunia.
  5. Mewujudkan kesatuan ekonomi di kalangan negara - negara Dunia Islam di bawah OIC.
  6. Mewujudkan organisasi ketenteraan dibawah OIC yang bertujuan untuk misi keamanan terutamanya untuk negara - negara Dunia Islam.
  7. Mewujudkan jawatankuasa penyelarasan untuk kerjasama ekonomi, pendidikan, kebudayaan, teknologi dan lain - lain lagi yang lebih erat di antara negara - negara Dunia Islam.
  8. Mewujudkan dialog atau sidang kemuncak untuk menangani perpecahan dan perseteruan dikalangan negara - negara Dunia Islam.
Ini adalah beberapa cadangan yang perlu diambil perhatian utama untuk kebaikan OIC demi masa depan dan kelangsungan umat dan Dunia Islam. Saya percaya jika dilakukan transformasi secara menyeluruh, akan terdapat banyak lagi cadangan - cadangan yang lebih baik yang mampu di ketengahkan untuk penambahbaikan dan menjadikan OIC sebagai sebuah institusi mahupun pertubuhan terbaik untuk umat dan Dunia Islam serta dihormati di seluruh dunia.

Namun sebelum itu, kita semua harus mengakui bahawa umat dan Dunia Islam hari ini gagal menangani apa yang berlaku ke atas Islam dan umatnya. Mengakui kegagalan bukan bermakna kita lemah tetapi mengakui hakikat untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan menjadi lebih baik di masa akan datang.

Semoga OIC mampu menjadi wadah terbaik demi masa depan dan kelangsungan umat dan Dunia Islam. Sama - samalah kita berdoa agar Islam kembali gemilang dan terbilang di di mata dunia dan kembali menyatu - padukan umat dan Dunia Islam.

Islam Memperkukuh Perpaduan.
YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo