Ketua BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard, dilaporkan dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Beliau dimaklumkan mengenai pemecatan itu melalui mesej WhatsApp oleh Setiausaha Lembaga Disiplin parti pada jam 6 petang semalam.
Mengulas perkara itu, beliau mendakwa parti berkenaan tidak lagi memperjuangkan isu rakyat, sebaliknya hanya memihak kepada kelompok tertentu. Che’gu Bard turut menyatakan akan terus memperjuangkan nasib rakyat serta menentang rasuah.
Sebelum ini, beliau menerima notis tunjuk sebab berhubung beberapa dakwaan termasuk mencemarkan imej parti, namun enggan menjawab kerana menganggap tuduhan tersebut tidak munasabah.
Situasi itu berlaku ketika BERSATU berdepan kemelut dalaman melibatkan Presidennya, Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin, yang turut menyaksikan beberapa pemimpin lain dikenakan tindakan disiplin sebelum ini.

No comments
Post a Comment