KUALA LUMPUR: PAS menyokong langkah tegas kerajaan dalam menanggapi isu mempromosi budaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini yang semakin berleluasa.
Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, kes-kes pengantunan seksual (sexual grooming) yang berlaku secara terbuka dalam media sosial sememangnya sesuatu yang menimbulkan kegusaran dalam masyarakat pada hari ini.
Malah, ujarnya penyalahgunaan ruangan media sosial untuk mempromosi budaya LGBT secara umumnya wajar mendapat perhatian pihak berwajib.
Beliau berkata, aspek perundangan dan SOP penguatkuasaan perlu diteliti dengan mendalam bagi mengurangkan halangan (pave the way) tindakan yang boleh diambil terhadap mereka.
Advertisement
“Saya mengharapkan agar beberapa pelan tindakan daripada Task Force Menangani Isu LGBT ini dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata tindakan tegas secara bersepadu dalam kadar segera dilaksanakan bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial.
Beliau menyatakan perkara itu setelah selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Menangani Isu LGBT yang diurusetiakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Katanya, antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.
Menurutnya, Task Force Menangani Isu LGBT itu diwujudkan selari dengan Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM.
Tambahnya, tujuan mesyuarat khas semalam ialah untuk membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, bulan Jun dianggap sebagai Gay Pride Month di mana gerakan LGBT di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, sedang mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka sama ada melalui perarakan atau media massa termasuk media sosial.
“Justeru, kita mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mempromosi gaya hidup LGBT,” ujarnya.
Menurut Idris, selain cadangan pelan tindakan tersebut, pihak berwajib juga wajar melakukan pemantauan yang rapi terhadap proses pelaksanaannya bagi memastikan setiap cadangan pelan tindakan dibumikan dengan agenda bertindak yang efektif.
“Kita mengharapkan agar aktiviti songsang di negara ini dapat dikekang dengan lebih efektif dan Malaysia kekal negara yang bebas fahaman songsang LGBT insya-Allah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/6/2021
No comments
Post a Comment