KKM mulakan ujian klinikal penggunaan Ivermectin rawat pesakit Covid-19

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19.

Kajian dilakukan bagi membandingkan Ivermectin dengan rawatan standard yang diberikan kepada 500 pesakit Covid-19 kategori dua dan tiga yang berisiko tinggi serta berumur 50 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian itu dibuat bermula 31 Mei lalu di 12 hospital milik KKM.

Beliau berkata, setakat ini lapan pesakit telah didaftarkan terlibat dalam kajian tersebut.

Menurutnya, Ivermectin adalah ubat antiparasit yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) dan biasanya digunakan untuk haiwan dan untuk merawat beberapa penyakit tropika termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

"Ia bertujuan mengkaji keberkesanan Ivermectin dalam mencegah pesakit Covid-19 ini daripada menjadi lebih serius (kategori empat dan lima) dan mengurangkan kematian.

"Kajian ini telah diberi kelulusan oleh Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan (Medical Research and Ethics Committee atau MREC) KKM pada 25 Mei 2021," katanya menerusi catatan di Facebook beliau pada Sabtu.

Jelas Noor Hisham, penggunaan 'off-label' Ivermectin untuk Covid-19 mula mendapat perhatian global kerana terdapat beberapa kajian kes dan ujian klinikal menunjukkan keputusan baik.

Bagaimanapun, katanya, belum ada bukti yang betul-betul meyakinkan bagi mengesyorkan penggunaan Ivermectin untuk rawatan wabak itu.

"FDA sendiri tidak meluluskan penggunaan Ivermectin dalam merawat atau mencegah Covid-19 pada manusia.

"Perkara ini telah dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk ‘Why You Should Not Use Ivermectin To Treat Or Prevent Covid-19’ bertarikh 3 Mei 2021," katanya.

Tambah beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat ini hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal, di mana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan.

"Begitu juga European Medicines Agency (EMA) telah mengambil pendekatan sama iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan pandemik itu. Ia susulan tiada data klinikal mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk tersebut dalam merawat atau mencegah Covid-19," katanya.


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post