NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DUN Sarawak kekal berfungsi hingga 1 Ogos




KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang penggalnya tamat esok, akan kekal berfungsi hingga 1 Ogos depan mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Susulan itu, Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak akan kekal sehingga DUN Sarawak dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Beliau berkata, perintah pengisytiharan darurat yang masih berkuat kuasa dan peruntukan pembubaran DUN digantung serta tidak mempunyai kesan oleh Ordinan Darurat, menyebabkan pelantikan ADUN tidak tamat seperti sepatutnya hari ini.

Katanya, berdasarkan Perlembagaan negeri, penggal DUN semasa berakhir selepas hari ini, iaitu cukup tempoh lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

"Bagaimanapun, peruntukan itu tidak dapat berkuat kuasa disebabkan pelaksanaan Ordinan Darurat

"Ia akan kekal sehingga DUN terbubar melalui pengisytiharan Yang di-Pertuan


Agong mengikut Seksyen 15 atau selepas 1 Ogos 2021 iaitu tarikh tamatnya darurat.

"Jadi, selepas 1 Ogos dan sekiranya perintah darurat tidak disambung, Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan selaras kehendak Perkara 21(4), Perlembagaan Negeri Sarawak dalam tempoh 60 hari dari tarikh tamatnya darurat pada 1 Ogos," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Asfia berkata, beliau sudah memaklumkan mengenai perkara itu kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh melalui e-mel, hari ini.

"PRN akan diadakan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak," katanya.

Laporan sebelum ini menyebut, Yang di-Pertuan Agong pada 25 Mei lalu, menasihatkan Kerajaan Sarawak berfungsi seperti biasa dengan kuasa mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Ekoran pengisytiharan darurat pada 11 Januari lalu hingga 1 Ogos ini, kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Perkara 21(3) Perlembagaan Negeri Sarawak memperuntukkan tempoh jangka hayat bagi DUN Sarawak adalah lima tahun daripada tarikh persidangan pertama.

Mohamad Asfia berkata, Seksyen 13 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 juga memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan pembubaran DUN bagi sesuatu negeri termasuk Sarawak dan juga tarikh pilihan raya, jika pada pendapat baginda ia sesuai bagi DUN itu dibubarkan dan pilihan raya diadakan dalam tempoh darurat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo