NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersama tangani Covid-19, bukan tukar kerajaan




Oleh EVA NATASHA SADALI


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) berpandangan pertukaran kerajaan dalam waktu terdekat bukan suatu tindakan bijak memandangkan negara sedang bergelut pelbagai krisis terutamanya krisis politik dan kesihatan.

Presidennya, Ustaz Kamalulhysham Suhut berkata, ia berikutan pelbagai desakan pimpinan parti pembangkang yang mendesak kerajaan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke -15 secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

Menurut beliau, hakikat di dalam Islam, mentaati ulil amri (kerajaan atau pihak autoriti) yang memerintah sebuah negara adalah wajib tanpa mengira kedudukan seseorang di dalam mana-mana parti.
Advertisement

Menjelaskan perkara berkenaan, beliau berkata Yang Di-Pertuan Agong merupakan ulil amri bagi Malaysia dan jika sesuatu perintah telah dititahkan baginda, maka wajib ditaati selagi mana ia tidak bertentangan di sisi agama.

“Ini bersumberkan firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang beriman, patuhilah Allah, patuhilah Rasul (mu) dan ulil amri dari kalangan-Mu. (al-Nisa’: 59)

“Sesungguhnya ketaatan itu hanya dalam perkara yang maaruf. (HR Bukhari no. 7257; Muslim no. 1840),” katanya.

Selain itu, beliau turut menyifatkan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 adalah antara instrumen penting untuk mengoptimumkan keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menguruskan pandemik Covid-19.

Justeru, tiada keperluan bagi mana-mana pihak untuk menolak ordinan berkenaan atau melakukan sebarang provokasi terhadap kerajaan selagi mana ia tidak bercanggah dengan penyelarasan undang-undang di negara ini.

Maka, katanya langkah yang terbaik sebagaimana saranan di dalam Islam adalah dengan menghilangkan wabak berjangkit tersebut dengan segera melalui usaha bersama kerajaan dalam membendung serta mengekang penularannya.

“Suasana hari ini yang berlaku dalam wabak yang melanda yang begitu dahsyat, saban hari kita mendapat panggilan telefon, mesej minta tolong doa, orang sini meninggal, orang sana sakit, positif Covid-19 dan sebagainya

“Dalam keadaan apabila datang wabak ini, dia melanda semua orang, tidak kira apa parti politik, apa warna parti kita, maka semua akan kena,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/22/bersama-tangani-covid-19-bukan-tukar-kerajaan/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo