NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PM: Selamanya angan Ketua Pembangkang




TIDAK habis lagi sebenarnya cita-cita pembangkang Pakatan Harapan (PH) mahu merosakkan usaha kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab melawan pandemik Covid-19 habis-habisan.

Serangan giat terfokus di media sosial hingga menyebabkan adanya silap pandang sesetengah pihak berbanding isu asas yang sepatutnya dihadam dan diperhatikan.

Dari segenap sudut mereka cuba menyerang kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sejak beberapa bulan ini mereka menumpukan serangan bersepadu kepada kepimpinan PAS walaupun isu yang dikaitkan langsung tidak ada kaitan dengan keterlibatan PAS melalui kementerian atau agensi tertentu.

Betapa sebenarnya PH amat gusar dengan kredibiliti PAS bersama kerajaan PN. PAS sentiasa menjadi buruan cybertrooper PH untuk dimangsakan, malah percubaan demi percubaan dibuat khasnya melalui poster palsu, putar belit kenyataan juga mengalihpindahkan isu lain kepada PAS khasnya.

Malah kenyataan-kenyataan pimpinan PAS pun dilaporkan media pro-PH secara setengah masak secara sengaja agar wujud persepsi negatif dalam minda rakyat terhadap PAS.

Mudah sahaja, jika mereka berjaya bunuh kredibiliti PAS maka sifat PAS sebagai penyatu dalam hubungan PN akan berjaya disekat, bagaimana mereka mampu mencuri kesempatan beberapa pemimpin yang bermasalah untuk bersama agenda mereka menumbangkan kerajaan.

Lihat sahaja kecenderungan bekas-bekas pemimpin PAS yang telah keluar parti untuk menghentam PAS malah tidak ketinggalan Ketua Pembangkang juga amat berminat untuk menjadikan PAS sebagai sasaran. Mungkin kerana suatu masa pernah bersama maka ‘janda lama’ amat dirindui (baca dalam nada sinis).

Hari demi hari apatah lagi cita-cita Ketua Pembangkang yang tidak pernah padam untuk menjadi orang nombor 1 dalam negara dan dengan beberapa kali percubaan masih gagal meletakkan diri sebagai PM.

Sejarah dan peristiwa September 2008 membuktikan bahawa Ketua Pembangkang amat berkehendak kedudukan sebagai Perdana Menteri, dan usaha itu amat didukungi oleh DAP dan kelompok tertentu dalam PAS ketika itu.

Namun usaha mereka gagal kerana bau busuk yang dibawa dapat dihidu oleh sebilangan pimpinan PAS ketika itu dan dalam masa yang sama Anwar gagal meyakinkan Ahli Parlimen untuk berbuat demikian.

Atas nama PH, Anwar bersama dengan musuh nombor satunya, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bersama membawa PH menerajui kerajaan dan akibat perpecahan dalaman PH yang amat besar angkara perebutan jawatan PM maka sekali lagi Anwar dan Tun M bermusuh semula. Umum tahu akan perihal ini.

Sebaik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengambil alih pemerintahan tahun lepas, usaha menjatuhkan kerajaan dibuat secara kerap malah pelbagai tindakan yang nampak jelas hingga menjijikkan mata rakyat sendiri.

Namun ketika kerajaan bekerja ke arah membangunkan semula ekonomi negara dengan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Pakej Prihatin, ketika itulah pembangkang memulakan serangan dengan pelbagai aspek sama ada character assassination (pembunuhan karekter).

Sedang dalam semua rakyat Malaysia berusaha menentang Covid-19 sebab ia melibatkan ekonomi negara termasuklah kebajikan rakyat, jadi inilah fokus utama kita yang harus diutamakan bukan persoalan membina jaringan baharu dan dalam masa yang sama memberi tekanan dari segenap sudut dengan pelbagai tuduhan serta lemparan fitnah demi menggugat usaha kerajaan menyekat penularan Covid-19.

Jikalau Ketua Pembangkang terbukti mampu melaksanakan pelan pemulihan atau menyekat penularan Covid-19, kenapa di Selangor dan Negeri Sembilan negeri yang diperintah PH kes baharu masih lagi berada pada angka yang amat tinggi malah menjadi kebimbangan pula kepada rakyat di negeri ini akan keberkesanan langkah memerangi penularan Covid-19.

Jika Ketua Pembangkang mampu melaksanakan nasihat dan memberi pandangan tuntas dalam menyelesaikan kemelut wabak Covid-19 di dua negeri ini, rasanya ia boleh dijadikan model dalam melaksanakan kaedah berkenaan di negeri lain yang ditadbir PN.

Pun begitu, hal ini tidak berlaku. Apa yang terjadi, masyarakat diheret dengan permainan sentimen politik melampau dan fitnah serta hasutan meletakkan kononnya kerajaan PN gagal, sedangkan jika diimbau 22 bulan PH menerajui kerajaan tiada apa yang rakyat dapat melainkan janji manifesto kosong, kes rasuah masih berlaku, rakyat diminta ikat perut, penghinaan ke atas Raja-Raja Melayu, Islam dan usaha mengganggu gugat institusi agama, percakaran antara kepimpinan PH yang tidak kunjung henti hingga Tun Mahathir melepaskan jawatan pada Februari 2020.

Dapat kita lihat beberapa pendedahan oleh kedua-dua pihak bagaimana PH ketika mereka memerintah sebenarnya saling bercakaran kerana jawatan PM hingga ehwal kebajikan rakyat diketepikan.

Hal ini amat menekan rakyat, bayangkan jika dalam pandemik Covid-19 PH menerajui kerajaan dan apakah yang akan berlaku kepada rakyat? Bukti bantuan RM30 ‘linggek’ jadi igauan, ada seorang teman pesara guru menyatakan kepada penulis, andai PH memerintah lagi maka dia yakin banyak onar yang akan berlaku malah dalam pandemik Covid-19 pun dia yakin andai PH yang menerajuinya maka rakyat akan lebih sengsara.

Sejarah membuktikan, PH menang dalam keadaan satu negara ditayangkan dengan kempen emosi dan sentimen melampau, hingga akhirnya mereka sendiri terpalit dengan sentimen itu ketika memerintah dan hari ini mereka menggunakan modus operandi yang sama dalam menjalankan usaha menggagalkan kerajaan PN hari ini.

Ingat falsafah PH mudah sahaja musuh boleh menjadi kawan dalam keadaan ini walaupun suatu masa lalu mereka menghentam musuh mereka itu dengan pelbagai serangan dan tuduhan, tidak mustahil sekiranya cita-cita mereka kesampaian dengan dapat menerajui semula negara, maka musuh yang menjadi kawan itu bakal menjadi kambing hitam demi melunaskan nafsu serakah mereka.

Rakyat harus sekali diingatkan dengan keadaan ini… – HARAKAHDAILY 23/6/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/06/23/pm-selamanya-angan-ketua-pembangkang/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo