NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar masih tidak serik bermain politik, PH celaru?


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegur Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana masih tidak serik bermain politik.

Beliau turut menasihati Presiden PKR itu untuk memberi fokus kepada masalah yang dihadapi rakyat pada masa kini.

Katanya, kelmarin Anwar diperkenan berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dan beliau telah pun menyampaikan hasratnya supaya kerajaan tidak menyambung Perintah Darurat selepas bulan Ogos ini, lapor laman web bersatu.org, semalam.

“Beliau harus sedar bahawa keputusan meletakkan negara di bawah Ordinan Darurat ini bukan sesuatu yang diambil mudah oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perintah ini terpaksa dibuat bagi memastikan negara boleh memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19, dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, Anwar juga perlu sedar bahawa Yang di-Pertuan Agong dengan kebijaksanaan baginda telah pun memperhalusi cadangan dan nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum bersetuju dengan keputusan kerajaan melaksanakan perintah darurat itu.

Justeru, beliau menasihati Ahli Parlimen Port Dickson itu supaya menghentikan polemik dan sebaliknya menyokong usaha kerajaan membasmi wabak Covid-19 dan membantu memulihkan keadaan ekonomi dan kesihatan rakyat.

Tambahnya lagi, adalah lebih baik Anwar bersama menyokong usaha kerajaan memastikan semua pihak mematuhi SOP dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

“Sudah-sudahlah dengan permainan politik nak jadi PM, kerana rakyat semakin bijak menilai permainan beliau dan PH yang ternyata makin bercelaru naratif perjuangannya,” katanya.

“Apabila Anwar cakap tiada perbincangan mengenai pertukaran pentadbiran kerajaan sewaktu jumpa Agong, adakah ini menunjukkan Anwar sedar selama ini dia hanya mereka-reka cerita sahaja?

“Sudah tiadakah formidable numbers yang diuar-uarkan sebelum ini?” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo