Minda Presiden PAS: Pengisytiharan ‘Armenian Genocide’: Pendedahan bukti Islamofobia



Peristiwa ‘Armenian Genocide’ yang berlaku pada tahun 1915 dan kini diungkit semula, perlu dibaca sejarahnya dengan adil dan mengapa pada hari ini diungkit sekali lagi.

Peristiwa tersebut berlaku ketika Khilafah ‘Uthmaniyyah dikepung dari segenap penjuru oleh musuh Islam, laksana Peperangan Ahzab yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Sebagaimana yang diceritakan melalui firman Allah SWT:

﴿إِذْ جَاءُوكُمْ مِنْ فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا١٠ هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالًا شَدِيدًا١١ وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلَّا غُرُورًا١٢﴾

(Iaitu) ketika mereka datang kepada kalian dari atas dan dari bawah kalian, dan ketika tidak tetap lagi penglihatan dan hati kalian, naik sesak sampai ke tenggorokan dan kalian menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. (10); Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan (perasaan dan pendiriannya) dengan goncangan yang amat dahsyat. (11); Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya berkata: ‘Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kami apa-apa melainkan hanya tipu daya sahaja.’ (12).” (Surah al-Ahzab: 10-12)

Pada waktu itu, Khilafah Turki ‘Uthmaniyyah dikepung dengan ganas oleh musuh Islam yang terdiri daripada kalangan Kristian Barat dan Timur, termasuklah juga kaum Yahudi yang pernah diselamatkan daripada kezaliman Kristian dan golongan munafiqun. Pada masa yang sama, mereka yang lemah iman dalam tanah air umat Islam pula diperalatkan oleh musuh tersebut.

Hal tersebut berlaku kerana peranan Khilafah ‘Uthmaniyyah dalam melindungi umat Islam dan wilayahnya di seluruh penjuru dunia daripada dijajah dengan rakus satu demi satu. Tragedi tersebut berlaku ketika kemuncak semangat permusuhan yang paling melampau terhadap Islam dan cita-cita Barat untuk menghapuskannya.

Kuasa Barat langsung tidak mengenang besarnya jasa tamadun Islam kepada kemajuan mereka sehingga kini, dalam segala lapangan ilmu khususnya dalam lapangan sains dan teknologi. Walhal mereka sebelumnya berada dalam kegelapan.

Berlaku juga dalam kalangan mereka kemuncak pertembungan yang rakus antara golongan agamawan yang berpisah daripada sains dan politik. Namun begitu, mereka bersatu bagi menentang Islam kerana merasa dengki terhadap kepesatan dan perkembangan tamadunnya.

Walaupun bahan kajian para ilmuwan Islam terdahulu diambil oleh Barat melalui pembelajaran ataupun ia dicuri, sehingga kini khazanah ilmu tersebut banyak disimpan di beberapa buah negara mereka menjadi bukti yang nyata tentang sumbangan Islam. Walau bagaimanapun, jasa dan sumbangan tamadun Islam dalam menyelamatkan mereka daripada kegelapan kejahilan sedikit pun tidak dikenang.

Zaman kelemahan umat Islam ketika era Turki ‘Uthmaniyah diambil kesempatan oleh musuh dengan melancarkan gerakan imperialisme dan kolonialisme yang tidak bermoral dan tidak berakhlak serta menyebarkan ajaran agama Kristian yang fanatik tanpa mengaitkannya dengan urusan politik. Maka, Kerajaan ‘Uthmaniyyah yang mempertahankan Islam menjadi sasaran utama mereka untuk dimusnahkan.

Sebahagian daripada etnik Armenia menjadi alat untuk menentang ‘Uthmaniyyah. Adapun sebahagian yang lain lagi, lebih rela berada di bawah kerajaan Islam ‘Uthmaniyah kerana mereka boleh hidup bersama dan etnik mereka tidak dihapuskan. Bahkan, mereka turut menyatakan secara terbuka bagi menentang kenyataan yang tidak adil itu.

Selepas kejatuhan ‘Uthmaniyah, umat Islam di sekitar Turki khususnya di Azerbaijan menjadi mangsa saki-baki pengkhianat itu. Sehingga ke zaman kini setelah Amerika Syarikat berjaya menakluk negara jiran itu, penduduk Muslim di sana dihalau daripada tanah air mereka, kerana menganut Islam adalah dianggap sebagai satu kesalahan. Mereka baru sahaja mendapat kemenangan tanpa simpati daripada negara Barat yang nyata sememangnya berpihak kepada Armenia.

Sepatutnya disedari bahawa berada di bawah penjajahan barat lebih parah dan zalim lagi kalau dibandingkan perbezaannya dengan Kerajaan Islam ‘Uthmaniyah, kerana penjajahan barat diikuti dengan sistem hamba abdi terhadap anak negeri yang dijajah. Selain itu, banyak nyawa yang terkorban dan hasilnya turut dirompak serta terus berlaku campur tangan sekalipun dikatakan sudah merdeka pada zaman kini.

Bahkan mereka menubuhkan negara khususnya Amerika dengan cara yang amat kejam, setelah membunuh penduduk asal (iaitu American Indians) laksana binatang buruan. Bahkan, sehingga kini etnik itu dibiarkan hidup merempat di tanah air sendiri.

Anak negeri yang dijajah, khususnya paling ramai dari Afrika diangkut dan dijual di pasaran hamba abdi untuk dipaksa bekerja bagi meneroka negara yang dicipta kini sudah menjadi kuasa besar. Sehingga kini kedudukan penduduk asal itu masih dipinggirkan daripada hak asasi manusia dan keadilan yang menjadi slogan langsung tidak diamalkan oleh mereka.

Sejarah hitam paling zalim itu bukan sahaja digulung dalam lipatan sejarah yang tidak dikenang oleh mereka, malahan mereka menunjukkan kerakusan secara tidak henti dengan membina senjata pemusnah. Senjata yang telah mengorbankan jutaan nyawa manusia di Hiroshima dan Nagasaki dalam Perang Dunia Kedua, kemudian diikuti oleh Perang Korea, Perang Vietnam, termasuklah perang di Afghanistan dan Iraq.

Siri peperangan yang berlaku itu adalah bertujuan melindungi keganasan yang dilakukan oleh Israel dan lain-lain sekutu mereka, kononnya atas dasar kebebasan dan demokrasi. Sehingga mereka berlagak sombong sebagai negara paling berkuasa untuk mengawal dunia mengikut kehendak mereka.

Kebangkitan semula umat Islam yang berlaku di beberapa negara seperti Turki, Iran dan lain-lain negara dipandang serong kerana berorientasikan Islam. Hanya diizinkan berlaku, sekiranya kebangkitan yang tidak Islamik dan bersedia menjadi alat kepada mereka.

Mereka sangat selesa dengan Iran dan Turki dahulu di bawah pengaruh fahaman sekularisme yang menentang Islam serta membunuh para ulama’ dan pemimpinnya yang berusaha menegakkan Islam. Secara tegas, Amerika langsung tidak dapat menerima sebarang perubahan untuk kembali kepada Islam.

Maka, kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Amerika dalam isu tersebut ialah suatu pendedahan tentang hakikat agenda Islamofobia yang sedang menghantui penglihatan mereka terhadap Islam. Fobia yang telah menghilangkan perhitungan secara waras dengan akal yang sihat dan ilmu yang sebenar.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 26 Ramadhan 1442 / 8 Mei 2021

 

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post