NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerjasama Warisan-PBS Dapat Kuatkan Tuntutan Pelaksanaan MA63




KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyambut baik spekulasi kerjasama antara parti itu dengan PBS demi masa depan Sabah dalam memperjuangkan hak-hak negeri yang selama ini dinafikan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Ketua Wira WARISAN, Mohd. Ismail Ayub (gambar) berkata, kerjasama itu bakal mengukuhkan lagi kuasa politik Sabah dengan barisan pimpinan tempatan yang tidak terikat atau menjadi boneka kepada pemimpin Malaya.

Katanya, asas perjuangan WARISAN dan PBS sama iaitu mengembalikan hak-hak Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Spekulasi ini merupakan satu sejarah besar dalam politik Sabah kerana bakal menjadikan negeri ini ditadbir sepenuhnya oleh parti tempatan yang ditubuhkan demi menegakkan MA63.

“Jika sebelum ini WARISAN dan PBS memperjuangkan hak-hak Sabah melalui landasan berbeza, sudah tentu jika benar kerjasama itu terbentuk maka perjuangan itu akan menjadi lebih utuh dan didengar oleh pemimpin Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Baru-baru ini, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili masing-masing menyatakan pandangan kemampuan untuk bekerjasama demi masa depan Sabah.

Perkara tersebut dilihat bakal membuka jajaran politik baharu Sabah yang menarik kerana membolehkan kerajaan negeri membuat keputusan sendiri demi rakyat Sabahan tanpa pengaruh Semenanjung.

Kekuatan pemerintahan Sabah dapat dilihat semasa pemerintahan WARISAN Plus apabila Mohd. Shafie lantang bersuara demi kepentingan Sabah walaupun tidak dipersetujui pemimpin Semenanjung.

Mohd. Ismail berkata, contoh paling ketara ialah ketika pemerintahan WARISAN Plus, Mohd. Shafie menjelajah ke seluruh Sabah untuk memberikan geran tanah kepada rakyat yang telah memohon selama berpuluh tahun.

Namun katanya, selepas sahaja PPBM mengambil alih pemerintahan, antara perkara pertama yang menjadi keutamaan mereka ialah memberikan hampir 2,000 hektar tanah kepada agensi Kerajaan Persekutuan bukannya menyambung semula dasar WARISAN Plus yang mendahulukan rakyat.

“Inilah yang menjadi masalah bila kerajaan kita dikawal oleh Persekutuan, keutamaan itu sudah lari tiada lagi diberikan tanah kepada rakyat Sabah sebaliknya dirampas melalui agensi terlibat.

“Sampai bila kita mahu jadi begini sedangkan sudah berlarutan sejak Malaysia ditubuhkan MA63 tidak pernah ditunaikan mahukah kita sampai sekarang kita terus diperbodohkan?

“Kalau terjadi kerjasama WARISAN dan PBS, kita pasti mampu menekan Persekutuan untuk menunaikan MA63 lebih-lebih dipimpin oleh dua pemimpin yang telah lama bersahabat,” tegasnya.

Menurut Mohd. Ismail, walaupun perkara tersebut masih menjadi spekulasi atau cakap kosong seperti yang didakwa sesetengah pihak, namun dalam politik apa sahaja boleh berlaku jika rakyat diutamakan.

“Tugas kita sebagai pemimpin akar umbi ialah cuba merealisasikan perkara itu kerana kita berjuang atas asas yang sama dan percaya kepada kebijaksanaan Presiden masing-masing.

“Tiada salahnya jika menjadi realiti kerana akhirnya yang akan menang ialah rakyat Sabah,” katanya. – BORNEO TODAY

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo