NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hilang serentak ibu bapa akibat Covid-19



ARAU: Bekas pesakit Covid-19, Nadzifah Said, 34 mengakui sedih dan pilu selepas kehilangan kedua ibu bapa yang disayangi akibat positif Covid-19.

Anak keempat daripada tujuh adik beradik itu sama sekali tidak menyangka dijangkiti virus itu kerana sudah mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menceritakan episod malang itu bermula Nadzifah berkata, bermula 4 Mei lalu beliau, ibu dan anak keduanya dikehendaki memasuki wad kerana mempunyai simptom.

“Saya, Ibu dan anak kedua perlu masuk wad kerana mempunyai simptom seperti batuk, selesema dan sesak nafas.

“Saya mengharapkan keputusan swab test yang dilakukan adalah negatif, namun keputusan sebaliknya,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, selepas doktor mengesahkan beliau, ibu dan anak keduanya positif perasaannya ketika itu bercampur baur antara sedih dan risau.

“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan ketika itu, terbayang wajah anak-anak murid yang saya ajar sudah pasti mereka perlu dikuarantin kerana saya disahkan positif.

“Dalam masa yang sama, mak saya perlu dimasukkan ke unit jagaan rapi (ICU) kerana masalah pernafasan,” ujarnya yang bekerja sebagai guru Kelas Fardu Ain dan Al Quran di sebuah sekolah di sini.

Katanya pada 6 Mei (seminggu sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri) beliau menerima panggilan daripada ICU memaklumkan keadaan ibunya.

“Doktor di ICU pangil adik atau ayah ke ICU, tetapi pada masa itu adik dan ayah pun perlu kuarantin jadi wakil adik sorang sahaja untuk berjumpa doktor.

“Dalam hati dah tak sedap, tidak lama selepas itu saya menerima Whatsapp dari adik mengatakan ibu sudah tiada, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan ketika itu,” katanya lagi yang tidak dapat menahan kesedihan.

Sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri, beliau, anak kedua dan adik dibenarkan keluar selepas disahkan negatif.

“Sambutan hari raya pada tahun ini tidak seperti tahun-tahun yang lalu, segalanya suram dengan keadaan masa itu ayah masih lagi ICU.

“Hati semakin sayu setelah seminggu selepas raya, ayah pula pergi menemui Ilahi asbab daripada Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun beliau bersyukur kerana sembuh dan diberi peluang kedua yang membuatkan dirinya lebih dekat kepada Allah SWT.

“Alhamdulillah, selepas saya kembali sihat dan diisytiharkan bebas Covid-19, saya dapat rasakan perubahan kepada badan yang terasa lebih ringan dan sihat, walaupun saya kehilangan ibu dan ayah yang disayangi.

“Sebagai bekas pesakit, saya harap masyarakat tidak menyisihkan individu yang dijangkiti Covid-19 sebaliknya bersama-sama memberikan sokongan untuk mereka melawan virus tersebut,” katanya.

Ujarnya lagi, kehidupan perlu diteruskan walaupun diuji kehilangan orang tersayang kerana setiap manusia pasti akan menempuh saat kematian.

“Penyakit ini sememangnya benar dan wujud, kita perlu menjadi warga prihatin untuk mengelakkan jangkitan virus Covid-19.

“Janganlah memandang remeh dengan virus ini sehingga kita menjadi punca ahli keluarga, saudara mara dan sahabat terdekat dijangkiti,” ujarnya yang juga Ahli Jawatan Kuasa Ameerah Arau.

Manakala kedua-dua ibu dan bapanya juga merupakan aktivis PAS Arau.

https://harakahdaily.net/index.php/2021/05/25/hilang-serentak-ibu-bapa-akibat-covid-19/


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo