NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

12 hospital swasta jadi PPV Covid-19



PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan 12 hospital swasta di tiga negeri akan mula beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 esok dalam usaha mencapai sasaran 150,000 vaksinasi sehari sebelum Jun.

Hospital itu adalah Pusat Perubatan Nilai, Hospital Pakar Senawang, Hospital UCSI, Hospital Pakar KPJ Seremban dan Pusat Perubatan Mawar di Negeri Sembilan.

Hospital Columbia Asia, Hospital Pakar KPJ Kuching, Pusat Perubatan Rejang, Pusat Perubatan Timberland dan Pusat Perubatan Borneo di Sarawak serta Hospital Pakar KPJ Selangor dan Pusat Perubatan MSU di Selangor.

KKM berkata, sejumlah 2,250 dos sehari akan disediakan di semua hospital itu bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan akan terus ditambah setiap minggu.

PICK kini pada peringkat Fasa 2 bagi suntikan vaksin individu berisiko tinggi seperti warga emas, golongan kurang upaya dan pesakit dengan komorbiditi.

Setakat 21 Mei, seramai 1.42 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, iaitu peningkatan daripada 1.19 juta pada awal minggu itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, berkata sasaran memberikan 80,000 suntikan sehari telah dicapai minggu lalu.

Katanya, dengan peningkatan bekalan vaksin, lebih banyak PPV akan dibuka untuk mencapai 150,000 suntikan sehari dalam tempoh satu atau dua bulan.

Terdahulu hari ini, Ahmad Amzad ketika melawat Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam bersempena pemberian vaksin AstraZeneca berkata, kerajaan masih berharap mencapai imuniti kelompok sebelum Disember.

Katanya, walaupun 1,400 PPV dijangka dibuka di seluruh negara, setakat ini kurang daripada 30% beroperasi akibat kekurangan bekalan vaksin.

“Kami akan mencapai klimaks proses vaksinasi apabila kesemua bekalan vaksin diterima sekitar Jun dan Julai. Susulan itu, kami akan membuka lebih banyak PPV,” tambahnya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo