NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gerhana matahari dan bulan; iktibar psikospiritual Islam




Gerhana matahari dan bulan menakutkan. Gelap menyerkup alam menukarkan ceria kepada kelam. Ditambahi kabus berdebu menghantar rasa takut kepada jiwa-jiwa manusia.

Justeru tidak hairan timbulnya pelbagai mitos di kalangan masyarakat sepanjang sejarah manusia terhadap kepercayaan kepada kuasa tertinggi samada tuhan, raksasa atau sebarang tempat berlindung. Maha Suci Allah, bagi jiwa yang diberi hidayah Islam, bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan diagungkan.

Mengikut perkiraan kalendar ilmu falak, pada hari ini, 26 Mei 2021 (Rabu) bersamaan 14 Syawal 1442 H, akan berlaku fenomena alam yang besar iaitu Gerhana bulan Penuh, pada jam 7.11 hingga 8.25 malam.

MasyaAllah, “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada tanda-tanda kebesaran Allah. Tidaklah terjadi gerhana kerana kematian, tidak pula kerana kelahiran. Maka jika kalian melihat gerhana, berdoalah kepada Allah, bertakbir, solat dan bersedekah.” [Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a].

Justeru gerhana matahari dan bulan adalah tanda kebesaran dan keagungan Allah azza wa jalla.

Fenomena gerhana matahari atau bulan bukanlah sesuatu untuk kita bergembira melihatnya tetapi supaya kita dapat merasakan kebesaran Allah Yang Maha Besar, Maha Kuasa dan Maha Gagah berbanding kuasa-kuasa lain di samping mengakui kelemahan diri.

Kita dianjurkan bersolat bagi mengurangkan rasa takut. Solat di dalam konteks ibadah adalah amalan ibadah tertinggi dan termulia berbanding ibadat-ibadat lain di dalam Islam. Solat merupakan asas kepada binaan agama, tali pengikat keyakinan dan puncak segala pengabdian yang merupakan sebesar-besar ibadat yang mendekatkan diri sang hamba kepada Allah dengan seteguh-teguh perhubungan.

Solat adalah suatu waktu bagi kita untuk merendahkan diri, menyatakan kekurangan serta hajat, mencurahkan airmata serta memanjatkan doa kepada Allah Azza wa Jalla. Ritual ibadah solat dengan penyertaan spiritual ini membentuk hubungan munajat secara langsung dengan Allah.

Di antara tatacara solat sunat gerhana sebagaimana yang dianjurkan Nabi Muhammad s.a.w, solat ini dilaksanakan dengan membaca surah yang panjang selepas surah al-Fatihah, diikuti pula oleh rukuk dan sujud yang panjang. Simboliknya, begitulah penyerahan dan pengharapan yang tinggi yang diajarkan Nabi sewaktu menghadapi saat-saat sukar dan cemas. Solat dan lafaz zikir yang bersatu dengan jiwa mampu mengusir racau di minda dan menyimbahkan ketenangan buat kita.

Mengikut falsafah perbuatan-perbuatan di dalam solat, membaca surah Al-Fatihah mengajar kita erti tawakkal iaitu berserah diri kepada Allah, mengharap kepadaNya dan bijak memilih jalan untuk menggapai kebahagiaan serta keredhaan Allah. Seterusnya lafaz ‘amin’ yang disebut semakin meningkatkan pengharapan agar Allah mengabulkan permintaan kita. Rukuk mendidik manusia merendahkan diri dan tawaduk kepada Allah.

Rukuk juga mengajar manusia akan keperkasaan Allah s.w.t serta betapa kerdil dan hinanya manusia yang sentiasa berlindung dengan keampunan Allah s.w.t. I’tidal pula adalah tempoh bertenang, sehingga kita diminta untuk beriktidal dengan sempurna dan mengambil sela masa yang sempurna sewaktu I’tidal. Sujud pula mendidik manusia agar tunduk dan menyerah kepada Allah, yang merupakan penyerahan total dengan membiarkan anggota tubuh yang mulia iaitu wajah menyentuh sesuatu yang hina (tanah), agar kita tidak mampu sombong, bongkak dan bermegah-megah .

Doa, munajat dan zikir adalah rayuan kita kepada Zat Yang Maha Tinggi, dari nama-namanya yang mulia. Al-Mukmin; Yang Mengamankan dari apa yang kita takuti, Asy-Syafi, Yang Menyembuhkan dari segala penyakit, Ar-Rahman; Yang Maha Pengasih yang memberikan sesuatu, sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya tanpa terkurang sedikitpun kekayaanNya.

Justeru, mengambil iktibar daripada solat gerhana matahari ini, harus kita fahami bahawa untuk menghindari kecemasan dan kegelisahan yang boleh menjurus kepada penyakit-penyakit jiwa, seharusnya kita menguatkan pergantungan kepada Tuhan Sang Pencipta.

Barangsiapa yang ingin mencari dan mengenal Tuhannya maka tempuhlah jalan yang telah dibentangkannya, iaitu jalan yang luas yang tidak sulit melaluinya. “Allah tidak ada Tuhan selainNya. Dia Hidup dan Berdiri sendiri. Tidak pernah mengantuk dan tidak pula tidur. BagiNyalah apa yang ada di langit dan di bumi. (Dialah) yang memberi syafaat di sisiNya dengan izinNya. Dia mengetahui apa yang di hadapan dan di belakang mereka dan tidaklah mereka mengetahui sesuatu dari ilmuNya kecuali menurut kehendakNya. KursiNya (ilmuNya) meliputi semua langit dan bumi, dan tidak sulit bagiNya memlihara keduanya dan Dia Maha Tinggi lagi Maha Agung.” (Al-Baqarah: 255)

Wallahu a’lam.
Samhani Ismail, PhD.

Rujukan:

2. Ahmad Hisham Azizan dan Che Zarrina Sa’ari (2009). Terapi Solat Dalam Menangani Penyakit Gelisah (Anxiety) Menurut Perspektif Psikoterapi Islam, Jurnal Usuluddin, bil 29, 1-43.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo