Dilema UMNO ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa



Oleh Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh

Perkataan dilema diambil daripada bahasa Inggeris dilemma yang bermaksud berada dalam keadaan terpaksa membuat satu daripada dua pilihan dan kedua-duanya tidak menyenangkan.

Ia mula diguna pakai Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal 1970-an, ketika beliau masih belum terpilih sebagai Ahli Parlimen dan anggota Kabinet, menerusi buku kontroversinya The Malay Dilemma.

Cuma dalam konteks penggunaan Dr Mahathir itu agak kurang tepat. Beliau mengandaikan orang Melayu dalam keadaan serba salah kerana di samping ingin bergerak maju ke hadapan - dan ini yang sememangnya menjadi pilihan generasi Melayu sesudah merdeka - menyebabkan orang Melayu dikatakan terikat atau dikongkong amalan budaya dan adat resam lama yang menghambat kemajuan mereka.

Perkara ini boleh dipertikaikan dengan menolak andaian bahawa Melayu mundur disebabkan amalan budaya mereka, padahal hambatan struktural di mana dari sudut demografi dan ekologi yang meletakkan bangsa Melayu jauh di desa terpencil dan di luar arus perdana pembangunan, adalah faktor yang lebih mendominasi berbanding faktor budaya tradisi.

Dalam konteks UMNO, dilema masa kini dihadapi adalah berkaitan krisis kepemimpinan dan ia bersifat sementara. Ia akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Krisis kepemimpinan sentiasa dihadapi UMNO dan mana-mana parti politik. Sebelum merdeka, UMNO dalam dilema apabila Datuk Onn Jaafar selaku Yang Dipertuanya mencadangkan supaya parti itu membuka keahliannya kepada bukan Melayu juga, menjadikan UMNO sebagai parti pelbagai kaum.

Cadangan ini tidak diterima perwakilan, tetapi mereka amat sayang dan setia kepada kepemimpinannya. Apa pun, pilihan yang ada pada Onn sendiri ialah meninggalkan UMNO untuk menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya atau IMP yang multi etnik, tetapi ternyata tidak mendapat sambutan dan ditolak.

Pada pemilihan pucuk kepemimpinan UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 1987, berlaku sekali lagi 'krisis kepemimpinan'. Ketika itu, perwakilan diletakkan dalam keadaan dilema juga seperti bunyi pepatah, 'Ditelan mati emak diluah mati bapa'.

Mereka dipaksa memilih sama ada Dr Mahathir atau Tengku Razaleigh Hamzah dan regu masing-masing, iaitu Tun Musa Hitam atau Tun Abdul Ghafar Baba, di mana pengaruh dan kredibiliti Tengku Razaleigh amat besar dan meluas ketika itu.

Akhirnya, Dr Mahathir menang tipis dengan majoriti sekadar 43 undi. Krisis berpanjangan bermula dengan UMNO terbelah dua kepada team A dan team B yang membawa kepada - sesudah keputusan pemilihan diputuskan - tertubuhnya parti serpihan UMNO, iaitu Parti Semangat 46.

Ia kemudian kembali bercantum, seperti bunyi pepatah 'carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum jua'.

Dilema dan krisis kepemimpinan dihadapi UMNO hari ini agak jauh berbeza berbanding dua contoh disebutkan di atas.

Ia akibat secara langsung kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018, di mana antara faktor paling mendominasi, walaupun banyak lagi faktor sampingan lainnya, adalah akibat tuduhan rasuah serta penyalahgunaan kuasa pemimpin tertinggi UMNO sebagai pemimpin utama BN.

Ini dikaitkan secara langsung kehilangan dana tabungan wang kerajaan melalui Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejumlah berbilion ringgit. Isu ini dimainkan media sosial sejak lebih setahun sebelum PRU dan ia amat mempengaruhi.

Selain itu, gabungan parti pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) memperoleh kekuatan luar biasa di bawah pemimpin lama yang masih berwibawa, Dr Mahathir sendiri.

Faktor kuasa pengundi berusia muda dan sokongan majoriti pengundi etnik Cina terhadap PH melalui DAP bersama-sama PAS juga menjadi kuasa penentu.

Selain bekas Perdana Menteri merangkap bekas Presiden UMNO, pengganti yang mengambil alih teraju kepemimpinan UMNO turut diseret ke mahkamah atas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

Walaupun pada prinsipnya, seseorang belum boleh dianggap bersalah sebelum dibuktikan di mahkamah dan diputuskan oleh hakim sebagai bersalah, imej seseorang pemimpin tertinggi yang terkena tuduhan di mahkamah, tercalar dan amat sukar dibaiki. Lebih-lebih lagi, bilangan tuduhannya amat luar biasa banyaknya.

Kini, UMNO dikatakan terbelah kepada dua atau tiga kelompok mengikut 'kluster' yang konsepnya terhasil daripada kelompok mangsa COVID-19, seperti 'kluster mahkamah' (merujuk mereka yang sedang dituduh di mahkamah), 'kluster Kabinet' (mereka yang berada dalam Kabinet dan memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan lantikan kerajaan Perikatan Nasional), serta kelompok ketiga sebagai 'kluster bebas'.

Persoalan atau dilemanya ialah sebahagian pemimpin dan ahli UMNO, serta mungkin ia suara majoriti, mengharapkan pemimpin tertinggi dalam kluster mahkamah mengundur diri buat seketika.

Alasannya, kewujudan sebagai pemimpin tertinggi UMNO akan mengakibatkan imej buruk atau tercemar parti itu sukar untuk dipulihkan.

Lebih lantang lagi, suara meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengundur diri untuk memberi laluan kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan atau Tok Mat yang imejnya masih terpelihara dan tidak tercalar, mengambil alih kepemimpinan UMNO masa kini.

Sayugia ini dilakukan bekas Presiden dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bagi sebahagian penyokong UMNO serta ahli yang kurang prihatin, ini tidak dianggap isu besar. Mereka kekal setia dan sedia 'terapung atau tenggelam' bersama-sama presiden mereka.

Mereka kurang prihatin bahana dan akibatnya bersikap sedemikian. Namun, bagi sebahagian yang lain bersama-sama sekitar 15 hingga 20 peratus pengundi atas pagar, dalam keadaan semasa di mana imej UMNO masih kekal tercemar dan belum berjaya dipulihkan, sokongan mereka kepada UMNO semakin menurun.

Mereka mempunyai pemimpin alternatif daripada sekurang-kurangnya dua parti Melayu-Islam, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS.

'Penghijrahan' beramai-ramai penyokong UMNO kelompok ini ke BERSATU atau PAS mungkin boleh dielakkan jika dalam sehari dua atau seminggu dua ini dan tidak menunggu hingga terlalu dekat dengan tarikh PRU, kepemimpinan tertinggi UMNO bertukar melalui apa cara sekalipun.

Mengikut kebiasaannya, melalui PAU atau presiden sekarang dengan rela hati mengundur diri.

Tentunya, kita mengharapkan mereka yang bakal memimpin UMNO bukan lagi dalam kalangan kluster mahkamah, tetapi mampu memberi imej baharu dan kepercayaan bahawa mereka sebenarnya berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air seperti asas perjuangan UMNO yang asal serta tidak lagi terpalit gejala tiga TA, iaitu takhta, harta dan wanita.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post