NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Arab Saudi iktiraf dua vaksin buat jemaah haji Malaysia


3 MEI: Hanya dua jenis vaksin iaitu Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca yang diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi dan boleh diambil oleh jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan Rukun Islam kelima tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkaitan perkara itu.

“Menerusi perbincangan ini, semua jemaah akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech sekiranya bekalan mencukupi, sekiranya tidak, vaksin AstraZeneca akan digunakan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perkembangan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan ibadah haji dan umrah, Zulkifli berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kerajaan Arab Saudi membuat keputusan berkaitan pelaksanaan ibadah itu.

Arab Saudi ketika ini belum membuat sebarang keputusan mengenai ibadah haji dan umrah musim ini dan negara itu hanya mengiktiraf vaksin COVID-19 jenama Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

Sebelum ini media melaporkan Zulkifli menegaskan beliau akan mengemukakan hasil perbincangan berhubung prosedur operasi standard (SOP) antara Malaysia dan Arab Saudi, baru-baru ini kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perbincangan itu diadakan ketika beliau bertemu pemimpin Arab Saudi dalam lawatan rasminya selama 10 hari ke negara terbabit sejak 10 April lalu bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan hubungan kerja kedua-dua negara yang turut memfokuskan kepada hal Ehwal haji dan umrah bagi umat Islam di Malaysia.

Zulkifli berkata, beliau akan turut mengemukakan hasil perbincangan diadakannya bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tabung Haji dan BUMITRA Malaysia mengenai ibadah haji serta umrah.

“Kunjungan hormat bertemu Timbalan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Abdel Fattah Mashat menampakkan sinar baik untuk Malaysia, insya-Allah,” kataya menerusi muat naik di Facebook rasminya, baru-baru ini.

http://www.pnbbcportal.com/2021/05/03/arab-saudi-hanya-iktiraf-dua-vaksin-buat-jemaah-haji-malaysia/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo