NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usah tindas suara Ilmuan, hormati kebebasan bersuara!

Desakan beberapa tokoh politik agar pihak universiti mengambil tindakan ke atas Dr Kamarul adalah satu cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan akademik. Ketua Pembangkang, DS Anwar dilaporkan meminta pihak Universiti Utara Malaysia membuat siasatan ke atas Dr Kamarul yang didakwa telah ‘mencetuskan ketegangan agama’. Selain beliau, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng juga mengkritik tulisan Dr Kamarul dan menyifatkannya bersifat fitnah dan menghasut kerana mengaitkan Steven Sim dengan Evangelisme Kristian.




Tulisan asal yang dirujuk ialah satu artikel Dr Kamarul yang bertajuk ‘Beza Antara Bantuan Melayu Islam dan Bantuan Cina Kristian’. Tulisan itu membandingkan pemberian bantuan motosikal oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, masing-masing kepada pekerja Food Panda yang berbeza.

Saya berpendapat bahawa artikel ini tidak mempunyai unsur menghasut, memfitnah dan jauh sekali dari mencetuskan ketegangan agama.

Pertamanya, artikel ini berbentuk pendedahan fakta secara perbandingan dari sudut penerima dan pemberi bantuan serta bentuk bantuan yang diberikan. Ia juga memberikan data berkaitan perbezaan liputan yang diberikan terhadap kedua-dua pemberian serta bagaimana bentuk penampilan media bagi kedua-dua peristiwa yang berlaku itu.

Kedua, tidak ada sebarang ayat yang berbentuk mengajak kepada kebencian berasaskan perbezaan agama. Pendedahan berkaitan latar belakang agama dan bangsa dibuat bagi mengingatkan pembaca berkaitan pengaruh strategi media yang boleh mempengaruhi persepsi orang ramai. Pemberian yang serupa oleh dua Ahli Parlimen tadi, mendapat pengiktirafan, pujian dan perhatian berbeza kerana faktor strategi media. Ingatan begini amat berguna sebagai satu pendidikan politik kepada rakyat. Dr Kamarul sebagai seorang yang mengikuti perkembangan politik dan memahami ilmu sains politik termasuk strategi media sememangnya mempunyai tanggunjawab untuk memberikan kesedaran tentang hal ini.

Ketiga, saya percaya Dr Kamarul membuat pelabelan identiti kaum dan agama iaitu ‘Melayu Islam’ dan ‘Cina Kristian’ dengan tujuan untuk memberikan kesedaran kepada pembaca dari kalangan Melayu Islam yang kelihatan terlalu memberikan perhatian dan penghargaan kepada ‘kerja-kerja kebajikan’ yang dilaksanakan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, sedangkan sangat banyak bantuan yang serupa atau lebih hebat dilakukan oleh sesama Muslim. Kesedaran ini amat penting kerana majoriti rakyat termasuk pengguna media sosial tidak memahami strategi media yang boleh mencetuskan persepsi yang palsu berkaitan apa yang sebenarnya berlaku.

Apa yang dilakukan oleh Dr Kamarul adalah satu usaha murni sebagai seorang sarjana dalam bidang sains politik untuk memberikan pencerahan agar rakyat tidak tersilap langkah dalam berinteraksi dengan propaganda politik khususnya melalui media sosial. Tulisan beliau menjurus kepada ingatan kepada umat Islam sebagai satu bentuk ingatan sesama muslim dan satu bentuk usaha meningkatkan pendidikan politik di kalangan umat Islam.

Jika tulisan beliau silap dari sudut fakta, maka pihak-pihak yang tidak berpuas hati perlu kemukakan tulisan balas membetulkan fakta. Jika tulisan beliau berbentuk fitnah, maka jelaskan apakah yang sebenarnya berlaku. Tapi hingga sekarang tidak ada tulisan balas yang menjawab dari sudut fakta dan data.

Usah disekat kebebasan bersuara dan kebebasan akademik Dr Kamarul. Orang politik usah buat kenyataan yang menindas kebebasan akademik, atau gunakan tentera siber politik mereka untuk membuli ilmuwan demi untuk memadamkan suara para sarjana dalam memberikan analisis dan ulasan mengikut kepakaran yang ada.

Kita mengharapkan agar rakyat berpeluang membuat pilihan politik berasaskan kebenaran, fakta dan realiti, bukannya menjadi mangsa permainan propaganda politik yang memperalatkan segala macam kecanggihan teknologi maklumat demi untuk menegakkan kepentingan politik sendiri.

MUHAMMAD FATHI YUSOF

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo