NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kompaun mesti ikut garis panduan



PUTRAJAYA: Pegawai penguatkuasa perlu mengikut garis panduan ditetapkan Kerajaan ketika mengeluarkan sebarang kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).




Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia berikutan Kerajaan sudah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun mengikut Akta 342, sebagai panduan kepada penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Pindaan yang dibuat terhadap Akta 342 adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak COVID-19 dalam negara ini.

"Mengikut garis panduan itu, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis adalah kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000," katanya dalam satu kenyataan ringkas, pagi ini.

Takiyuddin berkata, pengurangan sebanyak 50 peratus diberikan kepada pesalah dikenakan kompaun jika mereka membayarnya dalam tempoh tujuh hari atau 25 peratus jika ia dilunaskan dalam tempoh 14 hari.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan bawah peruntukan undang-undang adalah semata-mata bertujuan pencegahan dan memberi pengajaran kepada pelaku agar semua individu mahupun peniaga bersama-sama bertanggungjawab; memerangi pandemik COVID-19 dalam komuniti yang masih lagi berada di peringkat kritikal serta serius.

Semalam, media melaporkan mengenai seorang penjual burger mendakwa dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, di sini, memaklumkan dia didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam.

Polis kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, pengeluaran saman kepada mereka yang melakukan kesalahan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) boleh didenda RM10,000 kepada individu dan RM50,000 kepada syarikat dan perbadanan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo