NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kluster menteri bincang hala tuju




SHAH ALAM - Kluster menteri iaitu kumpulan yang kini dirujuk sebagai menteri UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama timbalan-timbalan menteri UMNO telah duduk berbincang mengenai langkah yang akan mereka ambil berhubung hala tuju dan masa depan parti.Ia dikatakan diketuai oleh Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sinar Harian dimaklumkan bahawa Ismail Sabri yang merupakan Menteri Kanan Pertahanan bersama menteri-menteri UMNO yang lain telah duduk berbincang mengenai masa depan parti mereka pada petang 30 Mac baru-baru ini.

Turut bersama ialah timbalan-timbalan menteri UMNO.

Tempat pertemuan itu difahamkan berlangsung di Kuala Lumpur.

Difahamkan semasa pertemuan itu, mereka telah berbincang sehingga ke lewat malam isu-isu sensitif yang dibangkitkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ia termasuklah sindiran-sindiran tajam yang dilontarkan oleh Ahmad Zahid ke atas Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noriani Ahmad.

Mereka juga khabarnya turut membincangkan pro dan kontra jika terus kekal bersama kerajaan PN walaupun PAU memutuskan bahawa mereka wajib meletakkan jawatan kabinet sebaik sahaja Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menetapkan tarikhnya nanti.

Hakikat ini benar apabila mereka membulatkan pendirian untuk terus berada dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagaimana yang diputuskan selepas bertemu dengan Perdana Menteri sehari selepas PAU.Namun begitu, keputusan paling penting dan besar hasil daripada pertemuan itu ialah pendirian kluster menteri UMNO ini untuk mendesak agar tarikh pemilihan pucuk pimpinan parti diadakan dengan segera.

UMNO telah menunda pemilihan pucuk pimpinan di semua peringkat yang sepatutnya berlangsung Jun depan kerana isu pandemik Covid-19.

Pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang lalu berlangsung pada Jun 2018. Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ahmad Zahid menang menumpaskan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah.Usaha untuk mendesak supaya pemilihan pucuk pimpinan parti diadakan dengan segera amat ketara sekali apabila beberapa hari lalu, Khairy mengesyorkannya sebagai jalan keluar kepada kemelut dan krisis kepimpinan parti itu sekarang.

Dengan desakan itu, Khairy langsung kini dilihat sebagai ‘jurucakap’ awal kluster menteri UMNO.

Desakan tarikh pemilihan parti ditentukan segera kini dilihat sebagai permulaan ke arah usaha menukar presiden yang dibelenggu bebanan perbicaraan kes di mahkamah.

Buat masa ini, hanya Khairy dan Annuar sahaja dalam kalangan kluster menteri yang kelihatan vokal menyuarakan tentangan secara tidak langsung ke atas institusi presiden dengan desakan supaya pemilihan parti diadakan segera.

Bagaimanapun, jika dalam hari-hari mendatang ini lain-lain menteri UMNO mula mendendangkan nada serupa ia memberi petanda satu gerakan untuk mengubah pucuk pimpinan parti telah bermula.

Bagaimanapun sepertimana yang dilaporkan Sinar Harian beberapa hari lalu, usaha untuk menyingkirkan Ahmad Zahid bukanlah satu usaha yang mudah.

Beliau bukan sahaja menguasai sebahagian besar bahagian UMNO malah mempunyai penyokong yang agak besar dalam MKT.

Juga jika Ahmad Zahid dapat menghidu adanya usaha untuk menjatuhkannya, beliau boleh menggunakan pelbagai cara untuk melengahkan pemilihan sehingga selesai pilihan raya umum.

Di tangannya terletak satu kuasa paling besar iaitu kuasa menandatangani watikah pelantikan sebagai calon pilihan raya.

Bayangkan bagaimanakah nasib menteri dan timbalan menteri UMNO yang menentangnya menjelang PRU akan datang jika Ahmad Zahid masih kekal sebagai presiden.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/131861/BERITA/Politik/Kluster-menteri-bincang-hala-tuju


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo