Responsive Ad Slot

Syria : Krisis Yang Tiada Penghujung.



KRISIS Syria yang telah berlarutan hampir 10 tahun masih lagi belum menunjukkan jalan penyelesaian. Puluhan ribu nyawa telah terkorban dan jutaan lagi menjadi pelarian di serata pelusuk dunia.Dua tahun lalu terdapat tanda - tanda bahawa penyelesaian semakin hampir apabila beberapa perjanjian termeterai antara Rusia yang mewakili Syria dan Turki yang mewakili kumpulan pembangkang seperti Perjanjian di Sochi, Rusia pada 17 September 2017.

Namun apa yang diimpikan oleh majoriti rakyat Syria ketika itu langsung tidak menjadi kenyataan sehingga ke hari ini. Berdasarkan geopolitik dan keadaan semasa, situasi terkini di Syria adalah lebih buruk dan getir dari sebelumnya.

Apa di sebalik krisis Syria ?
Syria menjadi medan pertembungan kuasa-kuasa besar dunia dan proksi-proksinya yang mempunyai kepentingan dan agenda masing-masing. Amerika Syarikat mempunyai kepentingan untuk menjaga keselamatan negara haram Israel dan menguasai sumber minyak dan gas yang kaya di Syria.

Iran pula menyokong regim Basyar Al-Asad dengan matlamat untuk mempertahan dan mengukuhkan kedudukannya kerana Syria adalah satu-satunya negara di Timur Tengah yang menjadi sekutunya dan jambatan antaranya dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan yang menentang Israel.

Rusia juga menyokong regim Basyar Al Assad, matlamatnya untuk menandingi kuasa hegemoni Amerika Syarikat sebagai kuasa tunggal Timur Tengah.

Setakat ini strategi Russia begitu berjaya sekali apabila diberikan keizinan membuka pengkalan tentera lautnya yang dibina di Tortuz, Syria ( satu-satunya pengkalan tentera laut Russia yang berada di laut lepas ).

Manakala Turki pula matlamatnya ialah untuk menjaga sempadannya daripada pemberontak Kurdis PKK dan YPG serta menyelesaikan isu jutaan pelarian Syria yang berada di Turki.

Pendirian Turki kerap berubah-ubah, peringkat awalnya Turki menyokong perjuangan untuk menjatuhkan regim Basyar Al Assad yang selari dengan kehendak Amerika Syarikat dan Israel, namun lama kelamaan Turki menyedari permainan jahat Amerika Syarikat dan Israel yang menikamnya dari belakang dengan menyokong kumpulan pemisah Kurdis YPG.

Sejurus selepas itu, Turki mengambil sikap untuk berunding dengan Rusia yang mewakili Syria demi untuk menjaga kepentingannya.

Perjanjian antara Turki dan Russia

Pada 17 September 2108 di Sochi, Rusia, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Turki Recep Tayyip Edrogan telah mengadakan rundingan dan telah mencapai persetujuan untuk mengadakan gencatan senjata serta mewujudkan zon pemampan di wilayah Idlib sepanjang 15 – 25km yang berada di kawasan ISIS yang telah ditumpaskan berkuatkuasa 15 Oktober 2018.

Ia adalah bertujuan untuk mengelakkan pertembungan langsung yang berterusan di antara tentera Syria dan Turki termasuk juga Rusia.

Secara langsung juga zon pemampan tersebut adalah untuk mewujudkan garis sempadan antara wilayah yang dikuasai oleh tentera Syria dan Basyar Al Assad dengan wilayah yang dikuasai oleh tentera yang menentang Basyar Al Assad yang disokong Turki. Namun terdapat juga syarat syarat lain dalam perjanjian tersebut seperti :

* Tidak dibenarkan sebarang serangan ataupun pertembungan berlaku di kawasan tersebut.

* Tentera Kerajaan Syria tidak dibenarkan menyerang kedudukan tentera penentang yang menguasai Idlib.

* Kumpulan Al Qaeda dan Hai’ah Tahrir As Syam hendaklah meninggalkan kawasan zon pemampan.

* Kumpulan seperti National Front Of Liberation dibenarkan untuk berada di kawasan zon pemampan tetapi hendaklah melupuskan kesemua senjata mereka termasuk mortar, pelancar roket dan kereta kebal.

* Syrian Salvation Government yang diterajui Hai’ah Tahrir As Syam hendaklah dibubarkan.

* Tentera penentang Basyar Al Assad hendaklah membuka laluan sepenuhnya ke lebuhraya M4 dan M5 untuk orang awam.

* Turki hendaklah menggunakan pos kawalan yang berada di bawah kawalannya di Idlib untuk mengawal keselamatan di kawasannya manakala Rusia dan Iran akan menggunakan pos kawalan yang berada di bawah kawalan mereka untuk mengawal keselamatan di kawasan milik mereka.

* Turki dan Rusia akan melakukan pengawasan bersama di sepanjang kawasan zon pemampan.

* Turki dan Rusia hendaklah bersama-sama bertindak untuk menumpaskan segala bentuk keganasan dalam sebarang keadaan mahupun manifestasi.

Kumpulan penentang Basyar Al Assad seperti Turkistan Islamic Party, Ansar Al Tawhid, Guardian Of Religion Organization, Ansar Al Din dan Ansar Al Islam menentang perjanjian tersebut. Hai’ah Tahrir As Syam pula mengeluarkan kenyataan yang berbelah bahagi tentang perjanjian tersebut.

Bagaimanapun Kerajaan Syria pimpinan Basyar Al Assad menyokong penuh perjanjian tersebut.

Perjanjian tersebut tidak kekal lama kerana apabila baru saja ianya dipersetujui, pada 19 September tentera Basyar Al Assad telah menyerang kedudukan Hai’ah Tahrir As Syam dan sekutunya di Idlib.

Selepas itu tentera Basyar Al Assad menyerang pula kedudukan tentera penentang di pergunungan Turkmen di wilayah Latakia yang dikatakan sebahagian daripada kawasan zon pemampan.

Tentera Basyar Al Assad juga menyerang kawasan Idlib yang dikuasai tentera penentang termasuk Qoqfeen yang berada di kawasan pendalaman bahagian barat Idlib. Wilayah Hama juga turut diserang tentera Basyar Al Assad termasuk bandar Al Sermaniyyeh.

Tentera penentang Basyar Al Assad termasuk kumpulan Nour Al Din Al Zenki menyerang balas dengan menyerang tentera Basyar Al Assad di bahagian barat Aleppo termasuk Makambo dan daerah Al Andalus.

Begitulah keadaannya sehingga ke hari ini di mana natijahnya perjanjian tersebut sebenarnya tidak sempat malah tidak langsung dilaksanakan disebabkan ketegangan akibat peperangan tersebut di mana sebenarnya tiada satu pihak pun percaya di antara satu sama lain.

Hakikatnya yang paling rugi dan terseksa adalah rakyat terutamanya umat Islam di wilayah – wilayah tersebut. Mereka kehilangan saudara mara, kediaman, perniagaan, harta benda malah kehilangan jati diri mereka lalu hidup sebagai pelarian.

Namun sebenarnya, kegagalan perjanjian tersebut terus memberi peluang kepada Amerika Syarikat, Israel dan negara - negara Arab sekutu mereka untuk terus cuba untuk menguasai Syria, melemahkan Rusia, Iran termasuk juga Turki dalam usaha untuk mengekalkan dominasi terhadap geopolitik Asia Barat.

Tidak dinafikan juga, berkemungkinan terdapat usaha dari dalam Syria mahupun dari di kalangan militia - militia di Syria untuk mengagalkan usaha damai yang dilakukan bagi pihak Amerika Syarikat, Israel dan negara - negara sekutu mereka di Asia Barat. Apa yang pasti, keadaan Syria saat ini memberikan kelebihan kepada mana - mana pihak sekalipun untuk meneruskan agenda mereka dalam menguasai geopolitik dan menguatkan pengaruh di Asia Barat.

Percaturan Geopolitik Di Syria Semakin Mencabar.

Pada 3 Mac baru - baru ini dalam mesyuarat Menteri Luar Liga Arab yang berlangsung di Kaherah, Mesir, Syria menjadi antara agenda utama mesyuarat tersebut. Jika dikaji secara mendalam, dilihat Syria yang dalam keadaan tenat ketika ini samada dari sudut ekonomi mahupun politik bakal menjadi medan penguasaan pengaruh mahupun kekuatan baharu di Asia Barat.

Di dalam mesyuarat tersebut juga, Turki menjadi kecaman kebanyakkan negara - negara Teluk kerana dituduh masuk campur dalam hal ehwal dalaman negara - negara Arab dan ia dinafi secara keras oleh Menteri Luar Turki yang menggangap tuduhan tersebut sebagai melampau dan tidak masuk akal.

UAE dan Mesir dalam mesyuarat tersebut menggesa agar Syria diterima semula ke dalam Liga Arab setelah hampir 10 tahun digantung keanggotaannya. Qatar pula secara tegas tetap berpendirian bahawa penggantungan tersebut masih sah selagimana keadaan di Syria tidak stabil dan menolak penyelesaian secara ketenteraan bagi memulihkan keadaan di Syria.

Jika diteliti, cadangan serta sokongan UAE dan Mesir terhadap kemasukan semula Syria ke dalam Liga Arab sudah tentunya kerana mahu mengawal Syria dari segenap sudut serta untuk mengurangkan atau melenyapkan pengaruh Iran, Turki dan Qatar ke atas Syria.

Sebagai rakan karib Israel serta negara yang mendokong normalisasi negara - negara Arab dengan Israel, sudah tentunya tindakan tersebut memberikan keuntungan besar kepada Israel kerana Syria satu - satunya negara Arab yang mempunyai banyak kumpulan militia yang didokongi oleh Iran serta menempatkan banyak aset - aset ketenteraan Iran yang menggusarkan Israel.

Jika cadangan tersebut diterima oleh Liga Arab, ia sudah tentunya memberi peluang kepada UAE, Mesir, Arab Saudi dan negara - negara Arab sekutu mereka untuk mengekang pengaruh dan dominasi Iran ke atas Syria sekaligus mampu mengeluarkan Turki dari Syria di mana Turki turut menjadi kuasa utama yang mencatur geopolitik di dalam Syria bersama - sama Rusia.

Selain daripada itu, ia turut juga mampu menjejaskan Rusia yang menjadi pendokong utama Basyar Al - Assad di mana Rusia menggunakan Syria sebagai platform utama untuk meluaskan pengaruh dan kekuasaannya di Asia Barat. Tindakan UAE dan Mesir itu juga sudah tentu memberikan kelebihan kepada Amerika Syarikat untuk mengekalkan dominasinya di Asia Barat di mana saat ini, dominasi Amerika Syarikat kelihatan amat lemah kerana tindak tanduk Donald Trump di Asia Barat ketika menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Namun beberapa hari selepas mesyuarat Menteri Luar Liga Arab, Rusia yang menyedari terdapat agenda tersembunyi di sebalik saranan agar Syria dipertimbangkan kemasukannya semula ke dalam Liga Arab telah menghantar Menteri Luarnya Sergei Lavrov untuk menemui rakan sejawatnya dari Turki dan Qatar di Doha untuk membincangkan agenda Syria di samping situasi Libya dan Nagorno - Karabakh.

Walaupun butiran terperinci lawatan mahupun perbincangan tersebut masih tidak diketahui secara jelas, apa yang pasti Rusia seperti berusaha untuk mewujudkan pakatan di antara Qatar dan Turki untuk terus kekal di Syria mahupun memperkukuh serta memperluaskan pengaruhnya di Asia Barat.

Yang pasti, ketiga - tiga negara tersebut dipercayai mempunyai tujuan mahupun agenda yang sama di mana ia sudah tentunya berlawanan dengan agenda mahupun tujuan Amerika Syarikat, Israel dan negara - negara Arab sekutu mereka. Keadaan ini sudah semestinya menjadikan situasi di Syria menjadi lebih buruk dan mungkin mampu membawa kepada kancah peperangan yang baharu.

Hakikatnya, keamanan dan kedamaian yang menjadi angan setiap rakyat Syria masih jauh lagi dari menjadi kenyataan walaupun dalam masa beberapa tahun akan datang. Dengan situasi ekonomi yang buruk, kebuluran, kemusnahan harta benda dan korban akibat perang di Syria yang masih lagi berterusan, Syria akan terus berhadapan dengan keadaan getir dan mencabar yang tiada kesudahan.

Perpaduan Kekuatan Umat Dan Dunia Islam.

Dunia Islam perlu sedar, hanya ukhuwah dan perpaduan sahaja dapat mengembalikan kekuatan Dunia Islam dan maruah umatnya. Di saat Dunia Islam lemah dan bermusuhan di antara satu sama lain, musuh – musuh Islam akan mengambil peluang dan kesempatan untuk menjauhkan serta mewujudkan permusuhan dengan tujuan untuk memecahbelahkan Dunia Islam.

Semakin banyak negara di kalangan Dunia Islam berseteru dan berpecah belah, lebih mudah kerja musuh Islam untuk menranapkan Dunia Islam.

Kelemahan Dunia Islam dan umatnya yang paling ketara saat ini ialah iman dan taqwa. Apabila lemahnya iman dan taqwa lalu meninggalkan ajaran Islam yang sebenar, akan akan hilanglah ukhuwah dan persaudaraan yang memainkan peranan yang paling penting dalam menguatkan perpaduan sesama ummah dan Dunia Islam.

Kerana musuh Islam sedar dan belajar dari pengalaman lalu, umat dan Dunia Islam akan kuat apabila mereka bersatu padu dan saling kasih mengasihi. Maka untuk meleraikan kekuatan Dunia Islam dan umatnya, perpaduan dan kesatuan tersebut mestilah dihancurkan.

Inilah apa yang terjadi saat ini, perpecahan dan perseteruan sesama ummah dan Dunia Islam semakin meranapkan Dunia Islam.

Bayangkan jika seluruh Dunia Islam bersatu padu, dengan kekuatan ummah yang mencecah lebih 1.9 billion orang, gabungan kekayaan hasil bumi seperti minyak dan gas serta sumber tenaga manusia yang ramai serta bijak pandai, tidak mustahil Islam akan kembali gemilang dan menerajui dunia.

Mungkin sekarang masih ada lagi yang tertipu dengan musuh Islam dan leka dengan harta duniawi, satu masa nanti insyaallah Dunia Islam akan bangkit dan bersatu kembali insyallah.

Doakan Islam Kembali Gemilang dan Menjadi Teraju Utama Dunia.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo